
KLANG – Pemilik bengkel yang sebelum ini menjadi tumpuan susulan penemuan sebuah van jenazah sehingga dikaitkan dengan sindiket curi kenderaan, didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen.
Majistret Siti Zubaidah Mahat menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Afsar Shah, 28, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan dihadapinya.
Mahkamah turut memerintahkan lelaki warga Pakistan itu dipenjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda itu.
Mengikut pertuduhan, Afsar didakwa menjalankan perniagaan tanpa lesen sah daripada Majlis Bandaraya Diraja Klang, di sebuah premis berpagar zink tanpa nombor dan nama di Bukit Kapar, di sini.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7.20 malam pada 7 Ogos lalu
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 3 Undang-Undang Kecil (Pelesenan Tred Perniagaan dan Perindustrian) (MPK) 2007 dan boleh dihukum di bawah Undang-Undang Kecil 39 undang-undang kecil sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya sekali.
Peguam, Mark Jeyakumar dalam mitigasinya memaklumkan tertuduh memohon maaf dan berjanji perkara itu tidak berlaku lagi.
“Anak guam saya sebelum telah menyerah diri ke balai polis untuk kes lain membabitkan curi kereta. Siasatan diselesaikan dengan dia tidak merupakan suspek utama.
“Dia juga telah direman 15 hari dengan tempoh itu ibarat hukuman kepadanya,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Uzzair Rosman memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, polis belum dapat mengesahkan premis berkenaan mempunyai kaitan dengan sindiket tertentu, susulan hanya dua warga Pakistan ditahan iaitu seorang yang dipercayai pemilik dan seorang lagi pekerja.
Terdahulu, bengkel tersebut tular susulan keberadaan kenderaan curi termasuk sebuah kenderaan pelbagai guna milik sebuah syarikat pengurusan jenazah di premis itu. – KOSMO! ONLINE
The post Pemilik bengkel dikaitkan van jenazah curi didenda RM1,800 appeared first on Kosmo Digital.






