Pulau Pinang akhiri penantian 28 tahun

20 Aug 2026 • 7:07 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pulau Pinang akhiri penantian 28 tahun

SERDANG: Penantian 28 tahun Pulau Pinang untuk meraih pingat emas bagi acara 4×400 meter (m) lelaki di Sukan Malaysia (SUKMA) akhirnya terlerai selepas kuartet negeri itu tampil bertenaga untuk mencipta rekod baharu pada temasya tersebut.

Kuartet Pulau Pinang yang dibarisi Y. Denishwar, K. Venket Prabu, Muhammad Farhan Mohd Isrulnizam dan Muhammad Sayyid Roslan bukan sahaja berjaya menghadiahkan pingat emas malah memperbaharui rekod baharu kejohanan dengan catatan 3 minit 11.84 saat (s) dalam saingan yang berlangsung dekat Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini.

Catatan tersebut memperbaharui rekod kejohanan milik Johor iaitu 3:12.35s yang dilakukan Umar Osman dan rakan-rakan pada dua tahun lalu malah menariknya kali terakhir Pulau Pinang memenangi emas ketika temasya itu dianjurkan di Selangor.

Pingat perak menjadi milik Selangor yang mencatat 3:13.52s manakala Kedah melengkapkan podium selepas merekodkan 3:14.09s.

Mengulas lanjut, pelari terakhir Pulau Pinang, Sayyid berkata, kemenangan tersebut menjadi petanda bahawa sukan olahraga di negeri itu sudah meningkat naik malah bersedia menjadi pencabar pada masa hadapan.

Image from: Pulau Pinang akhiri penantian 28 tahun
Muhammad Sayyid Roslan

“Alhamdulillah. Kalau tak ada rezeki yang Allah bagi untuk kami hari ini, kami takkan menang dan kami takkan buat rekod. Ini semua rezeki daripada Allah dan kami semua bersyukur atas apa yang diberi.

“Ini satu petanda positif. Pulau Pinang tak pernah menang apa-apa acara berganti-ganti dalam SUKMA mahupun MSSM (Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia). Jadi hari ini kami turun sebagai satu pasukan dan cipta sejarah baharu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lebih mengejutkan, Sayyidd turut mendedahkan kuartet berkenaan tidak pernah menjalani latihan bersama sebelum diturunkan pada temasya kali ini.

“Ini kali pertama mereka lari bersama. Tak pernah berlatih bersama. SUKMA ini adalah kali pertama Pulau Pinang satukan atlet.

“Dapat buat rekod baharu dan saya percaya pada SUKMA akan datang, insya-Allah kalau rezeki Allah bagi, kami akan kembali,” katanya.

Sementara itu, bagi kategori wanita menyaksikan kuartet Terengganu mengungguli saingan dengan catatan masa 3:51.35s manakala perak milik Johor (3:55.29s) dan gangsa diraih Sabah (4:01.28s).

Image from: Pulau Pinang akhiri penantian 28 tahun
Kuartet 4x400m Terengganu

Bagi saingan 5,000m wanita menyaksikan atlet Wilayah Persekutuan, Chen Jie Yi mengungguli saingan dengan catatan masa 18:38.01s manakala perak dan gangsa milik wakil Selangor menerusi R. Shayathiri (19:22.51s) dan Teo Sze Hui (19:56.81s). – UTUSAN

 

The post Pulau Pinang akhiri penantian 28 tahun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved