
SERDANG – Penantian 10 tahun untuk menyaksikan rekod acara 4×100 meter (m) lelaki dipecahkan akhirnya terlerai apabila kuartet Johor mencipta kejutan menyambar pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) Selangor 2026, hari ini.
Lebih dramatik, Johor yang tidak meletakkan sebarang rekod berjaya menamatkan saingan itu dengan catatan masa 39.46 saat (s) sekali gus memadam rekod 39.89s milik kuartet Melaka yang bertahan sejak Sukma 2016 di Sarawak.
Kuartet Johor yang diketuai Danish Iftikhar Muhammad Roslee sebagai pelari terakhir berjaya melakar catatan baharu kejohanan di Stadium Universiti Putra Malaysia (UPM) selepas mengatasi kuartet dari Sabah dan juga Selangor.
Kuartet Johor yang dibarisi Danish Iftikhar, Mohamad Haziq Ilmani Osman, Muhamad Airiel Iskandar Rusli dan Adam Harith Hairulaydel mempamerkan larian bertenaga dan berbangga mereka berjaya menjelmakan pingat emas.
Danish mengakui pencapaian itu di luar jangkaan mereka kerana sasaran asal hanya untuk memastikan Johor berada di podium memandangkan saingan kali ini cukup sengit.
“Kami cuma menyasarkan untuk berada di pentas podium. Selebihnya adalah rezeki daripada Allah. Kami percaya antara satu sama lain sebagai satu pasukan dan Alhamdulillah, kami berjaya mencipta rekod baharu kejohanan serta meraih pingat emas untuk Johor.
“Dalam acara 4x100m, macam-macam perkara boleh berlaku, jadi kami hanya memberikan yang terbaik dan akhirnya berjaya meraih kemenangan di sini hari ini,” katanya.

Danish percaya pencapaian itu membuktikan standard acara pecut negara semakin meningkat dengan kemunculan kelompok pelari muda yang mampu mencabar rekod terdahulu.
“Generasi pelari pecut semakin meningkat. Alhamdulillah, kami berjaya membuktikan kepada Malaysia bahawa kami mampu membawa acara pecut ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.
Bagi Airiel pula, emas 4x100m itu hadir sebagai penebus kekecewaan selepas dia sekadar menduduki tempat keempat dalam acara individu sehari sebelumnya, manakala rakan sepasukannya, Danish muncul juara.
Katanya, sokongan rakan sepasukan menjadi antara faktor utama yang membantunya bangkit daripada kekecewaan sebelum tampil dengan keyakinan lebih tinggi dalam acara berganti-ganti.
“Perasaan kecewa itu memang ada, tetapi kawan-kawan banyak menenangkan saya dan memberikan semangat sehingga saya mampu mencipta rekod baharu bersama mereka.
“Walaupun saya kecewa, mereka kata tidak mengapa dan cuba buat yang lebih baik. Alhamdulillah, saya buktikan kepada mereka bahawa saya boleh,” katanya. -KOSMO! ONLINE
The post Sukma 2026: Kuartet 4x100m Johor padam rekod 10 tahun appeared first on Kosmo Digital.






