Krisis ekonomi global- Pulau Pinang teruskan Pelan Kontingensi Air 2030

LocalBusiness & Finance
11 May 2026 • 12:24 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Krisis ekonomi global- Pulau Pinang teruskan Pelan Kontingensi Air 2030
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang akan meneruskan projek strategik bekalan air di bawah Pelan Kontingensi Air 2030 meskipun berdepan peningkatan kos pembinaan dan operasi akibat ketidaktentuan ekonomi global.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, projek yang dikendalikan oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) itu amat penting bagi menjamin kestabilan bekalan air negeri ini dan tidak boleh ditangguhkan.

Menurutnya, projek berkenaan kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan termasuk kerja pembinaan, perkhidmatan perundingan dan pengambilan tanah.

“Semua projek di bawah Water Contingency Plan 2030 akan diteruskan dan pembiayaan juga telah diperoleh menerusi pinjaman sukuk.

“Dalam keadaan semasa yang mendesak, projek strategik berkaitan bekalan air negeri perlu diteruskan demi kepentingan rakyat,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang Ke-15 di sini pada Isnin.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Lee Boon Heng (PKR-Kebun Bunga) berhubung Pelan Kontingensi Air 2030.

Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) mengambil langkah menangguhkan beberapa projek selama sekurang-kurangnya enam bulan bagi memberi ruang kepada kontraktor menilai semula peningkatan kos semasa.

Katanya, PDC turut bersetuju secara dasar untuk berkongsi peningkatan kos projek dengan kontraktor melalui mekanisme perkongsian kos operasi.

Pada masa sama, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri turut terkesan dengan kenaikan kos operasi termasuk peningkatan harga diesel yang memberi tekanan kepada pihak berkuasa tempatan.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dianggarkan menanggung tambahan kos operasi sekitar RM5 juta susulan kenaikan harga diesel.

“Kerajaan negeri juga belum berupaya menyediakan pakej rangsangan ekonomi sendiri kerana turut menerima tempias keadaan ekonomi semasa.

“Bagaimanapun, kerajaan Persekutuan telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk bantuan kewangan melalui institusi perbankan bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana menghadapi cabaran aliran tunai serta peningkatan kos operasi,” ujarnya.