GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang mempercepat agenda digitalisasi sistem kutipan hasil negeri sebagai langkah memperkukuh tadbir urus kewangan selain mengurangkan risiko kebocoran hasil.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah berkenaan melibatkan pemodenan sistem perkhidmatan awam termasuk kutipan hasil secara digital bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran serta memastikan setiap sumber pendapatan negeri diurus secara lebih telus dan berkesan.
Menurutnya, inisiatif itu juga selaras dengan usaha pembaharuan pengurusan kewangan yang lebih berstruktur melalui pemantauan prestasi secara berpusat serta pengukuhan akauntabiliti menerusi audit berkala.
“Selain digitalisasi, semakan kadar fi dan caj secara berkala turut dilaksanakan bagi memastikan hasil negeri sentiasa relevan dengan keadaan semasa, di samping penguatkuasaan terhadap tunggakan hasil yang masih belum dijelaskan.
“Dalam masa sama, kerajaan negeri turut memperkukuh pengurusan aset melalui pendekatan monetisasi bagi menjana sumber hasil baharu tanpa terlalu bergantung kepada hasil cukai tradisional.
“Peranan agensi seperti Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) turut diperkasa dalam memastikan penggunaan tanah industri dioptimumkan sekali gus menyokong penjanaan hasil negeri melalui premium tanah, sewaan dan aktiviti ekonomi berkaitan,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ke-15 di sini pada Selasa.
Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (UMNO-Bertam) mengenai strategi jangka pendek dan panjang Kerajaan Pulau Pinang untuk meningkatkan hasil negeri melalui pelaburan, pelancongan, ekonomi digital dan sumber baharu sambil mengurangkan pergantungan kepada kerajaan Persekutuan.
Kon Yeow turut menambah, pendekatan itu merupakan sebahagian daripada reformasi fiskal menyeluruh termasuk pelaksanaan kaedah belanjawan berasaskan sifar serta pendekatan ‘whole-of-government’ yang melibatkan penyelarasan antara jabatan negeri, pihak berkuasa tempatan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Menurutnya, semua langkah ini bertujuan memastikan pengurusan kewangan negeri lebih efisien, berintegriti dan mampu meningkatkan daya tahan fiskal Pulau Pinang dalam jangka panjang.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, Kerajaan Pulau Pinang memberi tumpuan kepada pembangunan sektor ekonomi bernilai tinggi termasuk industri semikonduktor maju, ekonomi digital dan pelancongan berkualiti tinggi sebagai strategi jangka panjang untuk memperkukuh kedudukan fiskal negeri.
“Langkah itu dilaksanakan bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber hasil tradisional selain memastikan hasil negeri lebih mampan dan berdaya tahan pada masa depan.
“Usaha menarik pelaburan berteknologi tinggi dipergiat menerusi sokongan agensi pelaburan negeri, InvestPenang, khususnya dalam sektor semikonduktor maju dan ekonomi digital.
“Dalam sektor pelancongan pula, negeri memberi fokus kepada segmen bernilai tinggi seperti pelancongan perubatan dan penganjuran mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran (MICE) bagi meningkatkan perbelanjaan setiap pelancong,” ujarnya.






