Pulau Pinang fokus jana hasil tanpa bebankan rakyat

LocalBusiness & Finance
14 May 2026 • 10:24 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pulau Pinang fokus jana hasil tanpa bebankan rakyat
Chow Kon Yeow

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang memperkukuh hasil negeri tanpa membebankan rakyat khususnya ketika rakyat berdepan tekanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pendekatan holistik, bersepadu dan berfokus sedang dilaksanakan bagi memastikan kedudukan kewangan negeri terus kukuh dan mampan dalam jangka panjang.

Menurutnya, antara langkah strategik yang diberi tumpuan ialah meningkatkan kecekapan kutipan hasil sedia ada melalui penambahbaikan sistem kutipan serta penguatkuasaan terhadap tunggakan.

“Kerajaan negeri turut mengoptimumkan penggunaan aset milik negeri melalui pendekatan pelupusan, penyewaan dan pembangunan semula aset tidak produktif bagi menjana pulangan yang lebih tinggi.

“Selain itu, usaha memperkasa sektor ekonomi bernilai tambah turut dipergiat menerusi galakan pelaburan strategik khususnya dalam sektor pembuatan berteknologi tinggi, perkhidmatan moden dan pelancongan,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Khamis.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Phee Syn Tze (DAP-Sungai Puyu) mengenai langkah strategik yang telah dan akan diambil kerajaan negeri untuk meningkatkan hasil negeri tanpa membebankan rakyat khususnya dalam keadaan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Tambah beliau, kerajaan negeri juga memberi penekanan kepada usaha mempelbagaikan sumber hasil secara berhemah tanpa melibatkan kenaikan cukai atau caj perkhidmatan yang boleh memberi tekanan tambahan kepada rakyat.

"Pada masa sama, aspek tadbir urus fiskal terus diperkukuh menerusi pelaksanaan pendekatan 'zero-based budgeting', perbelanjaan berimpak tinggi, pemantauan prestasi kewangan secara bersepadu serta pengukuhan ketelusan dan akauntabiliti melalui audit serta pelaporan berkala.

"Pendekatan berkenaan bukan sahaja bertujuan meningkatkan hasil negeri dalam jangka pendek malah membina asas kewangan yang lebih berdaya tahan, inklusif dan mampan dengan kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan," ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Kon Yeow berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) turut memainkan peranan penting sebagai pemangkin pembangunan ekonomi negeri menerusi pelaksanaan projek strategik, pembangunan infrastruktur dan penyediaan kemudahan awam.

"Walaupun GLC tidak berfungsi sebagai penyumbang hasil secara langsung melalui kutipan cukai, peranannya signifikan dalam menjana nilai ekonomi yang menyumbang kepada peningkatan hasil negeri secara tidak langsung.

"Perbadanan Ketua Menteri Pulau Pinang pula memainkan peranan lebih langsung dalam penjanaan hasil melalui pengurusan dan pengoptimuman aset negeri termasuk kutipan sewaan, pulangan pajakan serta pelaksanaan kaedah Request for Proposal (RFP)," katanya lagi.

Beliau menambah, hasil daripada pendekatan itu, CMI menyumbang hasil kepada kerajaan negeri berjumlah RM6.41 juta pada tahun 2024 sebelum meningkat kepada RM54.2 juta pada tahun 2025.

“Peningkatan itu mencerminkan keberkesanan strategi pengurusan aset yang dilaksanakan bagi memperkukuh asas ekonomi dan kewangan negeri secara mampan tanpa menjejaskan kesejahteraan rakyat,” katanya.