Pulau Pinang laksana Perintah Khidmat Masyarakat kes buang sampah bermula 1 Julai ini

LocalEnvironment
14 May 2026 • 12:32 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pulau Pinang laksana Perintah Khidmat Masyarakat kes buang sampah bermula 1 Julai ini
Mooi Lye ketika beruccap dalam Mensyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di George Town pada Khamis.

GEORGE TOWN – Pelaksanaan Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di Pulau Pinang yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2026 dijangka menjadi mekanisme baharu dalam menangani kesalahan pembuangan sampah kecil melalui pendekatan hukuman berbentuk khidmat masyarakat di kawasan awam.

Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata, di bawah pelaksanaan itu, kerja-kerja pembersihan awam akan menjadi teras utama PKM yang melibatkan aktiviti seperti mengutip sampah, menyapu, mencuci, mengemop, mengecat serta mengumpul sisa pepejal di lokasi-lokasi tumpuan awam.

Menurutnya, antara kawasan yang dikenal pasti termasuk jalan awam, pasar awam, pasar tani, pasar malam, longkang, pantai, perhentian bas, tandas awam, taman awam, laluan pejalan kaki, jejantas, medan selera dan pusat penjaja.

"Jadual pelaksanaan PKM akan ditentukan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) berdasarkan kesesuaian operasi, tempoh hukuman serta faktor keselamatan dan kebajikan pesalah bagi memastikan pelaksanaan berjalan secara teratur dan terkawal.

"Kerajaan negeri menetapkan 1 Julai tahun ini sebagai tarikh rasmi permulaan pelaksanaan PKM selepas semua garis panduan, prosedur operasi standard (SOP) dan mekanisme pelaksanaan dimuktamadkan di peringkat PBT," katanya pada Mensyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Khamis.

Mooi Lye (DAP-Jawi) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Joseph Ng Soon Siang (DAP-Air Itam) mengenai bidang kuasa PBT dalam melaksanakan PKM di Pulau Pinang.

Tambah beliau, pelaksanaan akan dilakukan secara berperingkat dan terselaras bagi memastikan sistem baharu itu dapat dilaksanakan dengan berkesan di seluruh kawasan pentadbiran PBT.

"Untuk rekod, PBT di Pulau Pinang diberikan bidang kuasa jelas dalam pelaksanaan PKM selaras dengan pindaan Akta Kerajaan Tempatan 2025 [Akta A1772] dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 [Akta A1773].

"Melalui peruntukan itu, PBT bukan sahaja bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang kecil kebersihan, malah turut diberi mandat melaksanakan hukuman alternatif berbentuk khidmat masyarakat terhadap pesalah.

"PBT juga berperanan merancang, menyelaras dan melaksanakan PKM termasuk menentukan aktiviti, lokasi serta jadual kerja pesalah, selain disokong SOP yang menetapkan kaedah pelaksanaan, pengiraan jam khidmat dan mekanisme pengawasan," ujarnya.

Kata beliau, aspek pemantauan turut diberi penekanan melalui pegawai yang diberi kuasa bagi memastikan pesalah mematuhi syarat ditetapkan termasuk kehadiran, tempoh pelaksanaan dan kualiti kerja.

"Laporan pemantauan akan direkodkan bagi tujuan penilaian. Sekiranya berlaku ketidakpatuhan, PBT boleh mengambil tindakan susulan termasuk merujuk semula pesalah ke mahkamah untuk tindakan lanjut.

"Menjelang tarikh pelaksanaan iaitu pada 1 Julai ini, kerajaan negeri melalui PBT akan mempergiatkan hebahan dan pendidikan awam bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.

Antara inisiatif termasuk hebahan media sosial rasmi, kempen kesedaran kebersihan, program libat urus komuniti serta pemasangan papan tanda di lokasi tumpuan," katanya lagi.

Beliau menambah, cadangan pemakaian garis panduan PKM bagi kesalahan pembuangan sampah kecil telah diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Bil. 14 Tahun 2026 pada 6 Mei lalu.

"Garis panduan itu diwujudkan bagi menyeragamkan pelaksanaan PKM oleh kedua-dua PBT di negeri ini.

"Daripada segi kewangan, pelaksanaan PKM tidak melibatkan implikasi tambahan kepada kerajaan negeri kerana ia menggunakan sumber sedia ada PBT termasuk tenaga kerja dan operasi semasa," ujarnya lagi.