GEORGE TOWN – Keadaan sebahagian bangunan warisan dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town semakin membimbangkan apabila terdapat bangunan yang berada dalam keadaan berbahaya dan usang.
Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Wong Hon Wai berkata, berdasarkan inventori bangunan usang yang dijalankan oleh George Town World Heritage Incorporated (GTWHI) pada tahun 2023, sebanyak 11 bangunan dikenal pasti berada dalam keadaan bahaya dan berpotensi mendatangkan kacau ganggu.
Menurutnya, 120 bangunan lagi dikategorikan sebagai usang yang mana, senarai berkenaan telah diserahkan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) untuk tindakan lanjut.
"Kira-kira 99 peratus bangunan warisan dalam kawasan Tapak Warisan Dunia ini dimiliki oleh individu persendirian namun sebahagiannya berdepan isu seperti tuntutan harta pusaka bertindih, ketiadaan waris serta kekangan kewangan untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
"Susulan itu, GTWHI telah melaksanakan inisiatif Insentif Pembaikan Bangunan Warisan Kategori I dan Kategori II pada tahun 2024 bagi membantu pemilik bangunan melaksanakan kerja-kerja pembaikan serta memulihara struktur warisan yang terjejas," katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang ke-15 di sini pada Khamis.
Hon Wai (DAP- Paya Terubong) berkata demikian ketika menjawab soalan A Kumaresan (PKR-Batu Uban) berhubung bangunan warisan terbiar dan rosak di Pulau Pinang.
Beliau menambah, melalui inisiatif tersebut, sebanyak 52 bangunan warisan Kategori I dan 300 bangunan warisan Kategori II telah menerima manfaat melibatkan kerja-kerja seperti pembersihan struktur, pembaikan fasad, kemasan bumbung, dinding luaran dan dalaman, serta pemulihan elemen warisan seperti ukiran, pintu dan tingkap asal.
"Turut dilaksanakan ialah kerja naik taraf sistem utiliti termasuk pendawaian elektrik, sistem perparitan dan pembetungan, selain rawatan anai-anai serta pembersihan tumbuhan liar yang menjejaskan struktur bangunan.
"Dalam pada itu, Pelan Pengurusan Warisan melalui Rancangan Kawasan Khas bagi Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town serta Penang Hill Biosphere Reserve (PHBR) terus menjadi dokumen utama dalam memastikan pengurusan dan pembangunan kawasan warisan dilaksanakan secara terancang, sistematik dan lestari," ujarnya.
Jelas beliau, pelan berkenaan turut menekankan keperluan keseimbangan antara pembangunan dan pemeliharaan identiti warisan khususnya di kawasan sensitif tanpa menjejaskan nilai keaslian dan kepentingan sejarahnya.
"Antara pendekatan strategik yang digariskan termasuk pelaksanaan tadbir urus yang baik melalui penglibatan awam dan penilaian impak yang telus, selain semakan profesional terhadap setiap cadangan pembangunan di kawasan sensitif.
"Selain itu, penekanan turut diberikan terhadap program latihan berterusan kepada penjawat awam dan pembuat dasar bagi memperkukuh kefahaman terhadap standard pemeliharaan warisan global," katanya lagi.
**media[3520241]**
Sementara itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye berkata, penjaja sedia ada di Anjung Gurney dan sekitar bulatan Persiaran Gurney akan dipindahkan ke Pusat Penjaja Gurney Bay baharu yang dijangka siap pada suku pertama tahun 2027.
Menurutnya, kerja-kerja pembinaan pusat penjaja baharu itu sedang dijalankan dan kini mencapai 4.16 peratus.
“Pusat penjaja baharu ini akan mempunyai 127 gerai penjaja, tujuh gerai minuman, 17 unit kedai runcit dan 43 lot kiosk mudah alih,” katanya.
Mooi Lye (DAP-Jawi) berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Joshua Woo Sze Zeng (DAP-Pulau Tikus) mengenai pusat penjaja baharu di Gurney Bay.
Mooi Lye menambah, terdapat 93 peniaga yang beroperasi di Tapak Penjaja Anjung Gurney dengan tambahan 12 penjaja statik sementara di sekitar kawasan Persiaran Gurney.
“Pemindahan akan dilaksanakan secara teratur bagi memastikan operasi penjaja berjalan lancar,” katanya.






