Pulau Pinang lelong tanah bagi biayai projek jalan pintasan Ayer Itam

7 Sep 2026 • 2:50 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Pulau Pinang lelong tanah bagi biayai projek jalan pintasan Ayer Itam Image from: Pulau Pinang lelong tanah bagi biayai projek jalan pintasan Ayer Itam hamden07/09/2026 - 14:50 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 7 Sept - Kerajaan Pulau Pinang akan melelong sebidang tanah pegangan bebas seluas enam ekar pada bulan depan dengan harga rizab RM313.632 juta bagi menjana dana untuk menyiapkan projek jalan pintasan Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

 

Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari berkata, kemajuan fizikal projek berkenaan mencapai 92.46% setakat 31 Ogos 2026, manakala kemajuan kewangan hanya berada pada 81.69%.

 

Menurut beliau, kontraktor projek, Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC), telah memohon bantuan kerajaan negeri untuk menjana semula nilai aset tanah berkenaan bagi menjana aliran tunai dan memastikan projek itu dapat disiapkan menjelang April 2027.

 

Projek jalan pintasan sepanjang enam kilometer itu merupakan laluan dua lorong berkembar tanpa tol yang bertujuan menyediakan laluan alternatif serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di George Town.

 

Projek yang dimulakan pada Februari 2021 itu merangkumi pembinaan jejambat bertingkat, jalan di aras tanah serta beberapa struktur lain.

 

Bagaimanapun, projek berkenaan mengalami kelewatan yang dikaitkan dengan isu pembiayaan dan logistik tapak.

 

Projek tersebut dibiayai menerusi kaedah pertukaran tanah, iaitu lot tanah dipindahkan berdasarkan tuntutan kerja yang telah disiapkan dan bukannya melalui pembayaran tunai kepada kontraktor.

 

Setakat ini, CZC telah membuat tuntutan bagi kerja yang disiapkan bernilai RM696 juta.

 

Daripada jumlah itu, kira-kira 12 ekar tanah bernilai RM427.657 juta telah dipindahkan kepada syarikat berkenaan, manakala baki nilai tanah yang telah dituntut tetapi belum dipindahkan berjumlah RM225.768 juta.

 

Tanah strategik berhampiran Gurney Bay

Tanah yang akan dilelong itu dikenal pasti sebagai P.T. 858 (Plot 7A), Seksyen 2, Bandar Tanjung Pinang di daerah Timur Laut.

 

Plot pegangan bebas tersebut akan ditawarkan melalui lelongan awam pada 7 Oktober 2026 dengan harga rizab RM313.632 juta, bersamaan RM1,200 setiap kaki persegi.

 

Lokasinya yang strategik bersebelahan Gurney Bay dan Pulau Andaman dijangka menjadi antara tarikan utama kepada bakal pembida.

 

Zairil berkata keuntungan daripada penjualan tanah itu akan dikongsi antara kerajaan negeri dan CZC.

 

Pembida yang berminat perlu mengemukakan deposit dalam bentuk draf bank bersamaan 1% daripada harga rizab, iaitu kira-kira RM3 juta, yang perlu dibayar kepada Pentadbir Tanah Daerah sebelum jam 11 pagi pada hari lelongan.

 

One Asia Property Consultants (PG) Sdn Bhd dilantik sebagai ejen lelongan bagi urusan berkenaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved