Pulau Pinang terus tuntut 20 peratus hasil cukai dikembalikan - Kon Yeow

LocalPolitics
5 Nov 2026 • 5:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pulau Pinang terus tuntut 20 peratus hasil cukai dikembalikan - Kon Yeow
Kon Yeow berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2027 pada Sidang DUN Pulau Pinang di sini pada Khamis.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang akan terus menuntut supaya sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dikutip di negeri ini dikembalikan bagi membiayai keperluan pembangunan dan kepentingan rakyat.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, tuntutan itu bukan sahaja berkaitan pengagihan hasil yang lebih adil malah turut melibatkan hak kerajaan negeri menentukan keutamaan serta mengurus perbelanjaan peruntukan berkenaan.

Menurutnya, fleksibiliti tersebut penting bagi memastikan peruntukan yang diterima dapat disesuaikan dengan perkembangan ekonomi, keperluan setempat dan kepentingan rakyat.

“Kerajaan negeri menghargai kelulusan peruntukan berbilion ringgit oleh kerajaan Persekutuan bagi pelaksanaan projek pembangunan di Pulau Pinang.

“Sebagaimana diperjuangkan selama ini, kerajaan negeri menyokong cadangan supaya sekurang-kurangnya 20 peratus hasil cukai yang dikutip di negeri ini dikembalikan semula,” katanya.

Kon Yeow (DAP-Padang Kota) berkata demikian ketika menggulung Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2027 pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Beliau menambah, tuntutan itu akan terus dikemukakan melalui saluran perundangan dan kewangan yang bersesuaian.

Sebelum ini, kerajaan negeri meminta kerajaan Persekutuan supaya mengkaji semula sistem pengagihan hasil cukai kepada negeri-negeri termasuk mengembalikan 20 peratus wang terbabit yang dikutip daripada Pulau Pinang.

Kon Yeow ketika itu menjelaskan, ia akan memberi ruang amat besar kepada kerajaan negeri untuk melaksanakan program dan projek pembangunan secara lebih berkesan khususnya bagi kepentingan rakyat Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi, Tanah dan Komunikasi menyambut baik cadangan penubuhan Suruhanjaya Perhubungan Persekutuan-Negeri atau Suruhanjaya Geran Persekutuan-Negeri bagi menyokong semakan formula pengagihan hasil melalui Majlis Kewangan Negara.

Menurutnya, mekanisme berkenaan diharap dapat memastikan pengagihan hasil dilaksanakan secara lebih telus dan seimbang dengan mengambil kira sumbangan ekonomi serta keperluan setiap negeri.

Dalam pada itu, berhubung cadangan memperluas penggunaan dana Kumpulan Wang Amanah Penyenggaraan Jalan Negeri (MARRIS) bagi membiayai projek tebatan banjir, Kon Yeow berkata, penggunaannya masih tertakluk kepada skop dan garis panduan ditetapkan Kementerian Kewangan.

"Peruntukan MARRIS sedia ada juga belum mencukupi untuk menampung keperluan sebenar penyenggaraan jalan serta kerja lain yang dibenarkan di bawah skop semasa.

"Sehubungan itu, sebarang peluasan skop penggunaan dana berkenaan perlu disertai pertambahan peruntukan bagi memastikan keutamaan penyenggaraan jalan negeri tidak terjejas," katanya.

Menjawab soalan tambahan Gooi Hsiao Leung (PKR-Bukit Tengah), Kon Yeow mengakui usaha mendapatkan kelonggaran atau pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi memperjuangkan hak dan kepentingan negeri-negeri bukan sesuatu yang mudah.

Menurutnya, perkara itu memerlukan kerjasama serta kesepakatan antara kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Jawatankuasa Pilihan Mengenai Perhubungan Negeri dan Persekutuan DUN Pulau Pinang mengambil inisiatif menganjurkan persidangan melibatkan penyertaan negeri-negeri lain bagi membincangkan isu berkenaan.

“Sebanyak 13 negeri telah dijemput menyertai persidangan itu dengan tujuh negeri hadir termasuk negeri-negeri yang mempunyai perbezaan haluan politik.

“Perjuangan menuntut keadilan untuk negeri-negeri perlu melangkaui perbezaan politik sebaliknya berteraskan kepentingan rakyat dan keseimbangan hubungan antara kerajaan negeri dengan Persekutuan,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved