
WASHINGTON – Aplikasi Microsoft Outlook mengalami gangguan besar di seluruh dunia semalam, menyebabkan berpuluh-puluh ribu pengguna sukar mengakses e-mel mereka ketika syarikat gergasi teknolologi maklumat itu berusaha ‘secara agresif’ untuk mengurangkan impaknya.
Gangguan dikaitkan oleh Microsoft dengan ‘beban tinggi’ pada infrastrukturnya dan berlarutan sepanjang waktu bekerja di Amerika Syarikat(AS) itu turut menjejaskan produknya yang lain seperti Teams dan pembantu AI, Copilot.
Gangguan itu menjadi global dalam tempoh sejam, melumpuhkan produk Microsoft di 74 negara dan wilayah, demikian menurut laporan pemantau gangguan Downdetector.
Peta dimuat naik oleh Downdetector di platform X menunjukkan gangguan itu menjejaskan pengguna di seluruh Benua Amerika serta sebahagian Eropah, Asia dan Afrika.
Pada mulanya, Microsoft mengumumkan bahawa pihaknya sedang menyiasat laporan gangguan di Benua Amerika, namun kemudian mengesahkan ‘isu berkenaan menjejaskan keterhubungan perkhidmatan Microsoft 365 bagi pengguna di mana-mana wilayah’.
Microsoft 365 merupakan perkhidmatan langganan awan yang merangkumi aplikasi popular seperti Outlook dan Teams.
“Kami mendapati sebahagian infrastruktur mengalami beban tinggi di pelbagai wilayah, yang menyumbang kepada masalah keterhubungan.
“Kami sedang berusaha secara agresif melalui pelbagai pendekatan untuk mengurangkan impak,” kata Microsoft di laman X.
Di AS, kira-kira 130,000 pengguna melaporkan masalah dengan Outlook sejurus selepas pukul 1 tengah hari (Waktu Timur ) atau 2 pagi (waktu Malaysia), demikian menurut laman web Downdetector.
Laporan gangguan menunjukkan penurunan selepas itu, dengan kira-kira 37,000 pengguna melaporkan mengalami masalah dengan Outlook menjelang pukul 6 petang atau 7 pagi (waktu Malaysia).
Ribuan pengguna turut melaporkan masalah berkaitan Teams dan Copilot, kata Downdetector.
Ketika gangguan berlarutan selama beberapa jam, Microsoft mengeluarkan siri kemas kini di X yang memperincikan usaha berterusan tetapi belum berjaya memulihkan perkhidmatan sepenuhnya.
Dalam kemas kini selepas pukul 6 petang Waktu Timur, Microsoft memaklumkan bahawa pihaknya ‘melihat pemulihan terhad’ semasa berusaha mengalihkan trafik pengguna daripada peranti pelayan yang terjejas.
“Apabila kapasiti dipulihkan, pengguna mungkin mengalami pemulihan secara berperingkat apabila klien mereka disambungkan semula,” tambah syarikat itu. – AFP
The post Puluhan ribu pengguna terjejas, Outlook pulih berperingkat appeared first on Kosmo Online.



