Puncak Niaga lupus 3 bidang tanah bernilai RM306.07 juta di Kuala Selangor
azan
18/08/2023 - 09:12
KUALA LUMPUR 18 Ogos - Puncak Niaga Holdings Berhad dan anak syarikatnya, Puncak Niaga Management Services Sdn. Bhd. (PNMSSB) memeterai perjanjian untuk melupuskan tiga bidang tanah bernilai RM306.07 juta di Kuala Selangor kepada Alpha Galaxy Sdn. Bhd. (AGSB) dan Alpha Galaxy 1 Berhad (AG1B).
Kumpulan itu berkata, ia bercadang untuk menjual Lot 7093 kepada AGSB pada harga RM98.62 juta serta Lot 7095 kepada AG1B pada harga RM106.32 juta, manakala PNMSSB akan menjual Lot 7094 kepada AGSB pada harga RM101.12 juta.
"Kumpulan itu berhasrat menggunakan hasil itu bagi membayar balik pinjaman bank, pelaburan masa depan, modal kerja, perbelanjaan yang ditanggung untuk cadangan pelupusan serta cukai," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, hari ini
Keputusan itu adalah sejajar dengan strategi kumpulan untuk menjana keuntungan tanah sebagai sebahagian daripada teras yang lebih luas dalam penciptaan nilai mampan bagi pemegang saham.
Kumpulan itu dijangka mencatatkan kerugian bersih kira-kira RM22.4 juta daripada pelupusan itu, yang memerlukan kelulusan pemegang saham serta kelulusan pihak berkuasa negeri untuk pemindahan hak milik tanah itu.
Sehingga 31 Mac 2023, jumlah pinjaman Puncak Niaga berjumlah RM1.19 bilion, yang terdiri daripada RM218.8 juta pinjaman jangka pendek dan RM966.57 juta pinjaman jangka panjang.
Pelupusan itu dijangka siap pada suku pertama 2028.- DagangNews.com


