Pusara Tun Dr Hasmah terus dikunjungi, penghormatan merentasi generasi

30 Sep 2026 • 10:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Pusara Tun Dr Hasmah terus dikunjungi, penghormatan merentasi generasi
Orang ramai terus menziarahi pusara isteri bekas Perdana Menteri Allayarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali di Pusara Negara pagi ini. Foto BernamaDr Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada usia 100 tahun.-- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA

PUTRAJAYA - Tiga hari selepas pemergian Tun Dr Hasmah Mohamad Ali menyaksikan pusara tokoh itu masih tidak putus-putus dikunjungi orang ramai yang datang membawa doa, kenangan dan rasa penghargaan masing-masing.

Ada yang mengenali Allahyarham secara dekat, ada pula hanya mengenali beliau melalui kisah dan sumbangannya kepada negara namun perasaan yang dibawa ke pusara itu tetap sama, iaitu orang ramai merentasi latar belakang dan pelbagai generasi mahu memberikan penghormatan kepada seorang tokoh yang telah menjadi sebahagian daripada sejarah negara.

Tinjauan Bernama mendapati pengunjung mula hadir sejak tengah hari termasuk mereka yang datang dari sekitar Putrajaya dan Cyberjaya untuk meluangkan masa bertafakur serta mendoakan Allahyarham.

Bagi pengunjung beragama Islam, sebahagian daripada mereka mengambil kesempatan membaca surah Yasin dan berdoa di sisi pusara manakala pengunjung pelbagai kaum lain pula hadir untuk memberikan penghormatan terakhir.

Suasana di pusara Dr Hasmah turut diselubungi rasa sebak apabila ada pengunjung gagal menahan tangisan ketika berdoa malah ada yang menitiskan air mata ketika ditemu bual Bernama walaupun mereka mungkin tidak berkesempatan bertemu Allahyarham secara peribadi.

Bagi beberapa pegawai perubatan dari Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan, kunjungan itu mempunyai makna tersendiri kerana mereka membesar dalam era Tun Dr Mahathir Mohamad dan Dr Hasmah.

Antaranya Dr S Chandravany, 50, yang berkata, disiplin, ketepatan masa dan nilai kekeluargaan dalam hidupnya turut dipengaruhi oleh pasangan itu yang diangkat sebagai contoh.

"Saya memang lahir dan membesar pada era Tun M dengan Tun Hasmah. Didikan yang saya terima daripada ayah saya pun daripada zaman mereka... disiplin dan ketepatan masa, semuanya datang daripada kedua-dua mereka dan untuk kebersamaan dengan keluarga pun, mereka menjadi model peranan,” katanya.

Turut meluangkan masa di sebalik kesibukan tugasan ialah Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin yang berkata, kenangan terhadap Allahyarham kekal terpahat dalam ingatan para wartawan yang pernah membuat liputan mengenai beliau sejak awal kerjaya mereka.

Mula membuat liputan mengenai Allahyarham sekitar 1984 hingga 1986, beliau berkata, Dr Hasmah sentiasa menyantuni wartawan dan jurugambar dengan penuh mesra, termasuk ketika menghadiri majlis di kediaman rasmi Perdana Menteri.

Nur-ul Afida berkata, Dr Hasmah tidak pernah meletakkan kedudukan beliau sebagai isteri Perdana Menteri sebagai batas dalam berinteraksi dengan tetamu atau petugas media.

"Layanan yang diberikan kepada kami, rakan-rakan wartawan dan juga jurugambar pada ketika itu, adalah tersangat-sangat mesra... kita dijemput makan dan minum sepertimana juga tetamu-tetamu kehormat yang lain.

"Dari situ kita boleh melihat sisi lain Allahyarham yang tidak meletakkan kedudukan beliau sebagai isteri Perdana Menteri, malah menjadikan sesiapa juga yang hadir di majlis di kediaman rasmi itu sebagai tetamunya,” katanya.

Beliau berkata, dua perkara yang sering ditekankan oleh Allahyarham dalam temu bual dengan media ialah pendidikan anak-anak dan kebajikan wanita.

Nur-ul Afida berkata, kata-kata dan pandangan Dr Hasmah mengenai kepentingan pendidikan dan usaha kaum hawa memajukan diri turut menjadi sumber inspirasi kepada ramai wanita, termasuk dirinya.

"Walaupun ia sekadar kata-kata atau ungkapan, tetapi ia boleh menjadi inspirasi besar untuk banyak pihak,” katanya.

Seorang guru, Wan Mohd Khairi Wan Hassan dari Sekolah Kebangsaan Bukit Goh, Kuantan pula mengambil inisiatif membawa sekumpulan pelajar menziarahi pusara Allahyarham walaupun kunjungan itu tidak terdapat dalam jadual asal lawatan mereka ke Putrajaya.

Beliau berkata, rombongan yang terdiri daripada 40 pelajar dan tujuh guru pengiring itu pada asalnya mempunyai jadual lawatan di sekitar Putrajaya namun mereka mengambil peluang menziarahi pusara Allahyarham selepas menerima banyak permintaan.

"Anak-anak ini berkata ‘cikgu, jomlah kita pergi ziarah kubur Tun Dr Hasmah’... mereka generasi lain dan tidak tahu sangat tentang kedua-dua tokoh negara ni,” katanya sambil kunjungan itu diharapkan dapat menjadi pengalaman bermakna kepada pelajar selain memberi peluang mereka mengenali tokoh yang banyak menyumbang kepada negara.

Jumlah pengunjung dijangka meningkat menjelang hujung minggu ini, dengan orang ramai terus mengambil peluang untuk menziarahi pusara Allahyarham sebagai tanda penghormatan dan mengenang jasa beliau.

Dr Hasmah, 100, meninggal dunia di Institut Jantung Negara pada pagi 28 September lepas dan dikebumikan di Pusara Negara, Presint 20, Putrajaya pada hari yang sama dengan Istiadat Pengebumian Negara. - Bernama

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved