
KUALA LUMPUR – Selepas pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, video lama yang memaparkan momen manis beliau bersama suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad, kembali tular di media sosial.
Rakaman berkenaan dikongsikan semula oleh akaun TikTok @MemoryTunM, memaparkan Tun Mahathir dan Allahyarhamah Tun Hasmah dalam satu momen santai yang cukup mesra.
Dalam video itu, Tun Mahathir dilihat tersenyum ketika berada di sisi Allahyarhamah Tun Hasmah yang mengenakan pakaian berwarna merah jambu.
Kenangan Yang Kembali Mengusik Hati
Video tersebut turut menggunakan kapsyen “Sweet memories with his beloved wife” dan dilatari lagu Ketulusan Hati nyanyian Anuar Zain.
Perkongsian itu menerima lebih 25,000 tanda suka serta ratusan komen daripada pengguna TikTok yang turut meluahkan rasa sebak melihat kembali kenangan pasangan berkenaan.
Pemergian Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah pada 28 September lalu meninggalkan kesan mendalam kepada keluarga. Allahyarhamah meninggal dunia pada usia 100 tahun di Institut Jantung Negara (IJN) sebelum selamat dikebumikan di Pusara Negara dengan Istiadat Pengebumian Negara.
Dalam perkembangan terkini, Tun Dr Mahathir kini berada di IJN selepas dimasukkan sejak semalam untuk menjalani pemerhatian. Anak beliau, Tan Sri Mokhzani Mahathir memaklumkan keadaan Tun M adalah baik dan tidak membimbangkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil turut memaklumkan bahawa Jemaah Menteri mendoakan kesihatan Tun Dr Mahathir yang kini berada di bawah pemantauan doktor di IJN. – The Malaysian Update
The post Momen Manis Tun M & Allahyarhamah Tun Hasmah Kembali Tular, Netizen Turut Sebak appeared first on The Malaysian Update.





