
PEMERGIAN Tun Dr. Hasmah Mohd. Ali pada usia 100 tahun, selepas hampir tujuh dekad hidup bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad, membawa perhatian kepada satu perkara yang jarang diberi ruang apabila sejarah seseorang tokoh ditulis, hubungan sosial yang mengelilingi kehidupan dan kerjanya.
Dalam sejarah sosial, daya tahan seseorang tidak diterangkan oleh kebolehan peribadi semata-mata. Ia turut dibentuk oleh hubungan yang menyediakan kepercayaan, kesinambungan dan tanggungjawab bersama.
Tun Mahathir pernah menggunakan satu perkataan yang cukup tepat untuk menggambarkan hubungan itu.
Ketika mengucapkan selamat hari lahir kepada isterinya pada 2019, beliau menulis, “Terima kasih kerana sentiasa bersama dan menemani saya.”
Dalam catatan yang sama, beliau mengakui banyak masanya dihabiskan dengan bekerja dan menghargai kesabaran Tun Hasmah.
Dari sudut sejarah sosial, ia merujuk kepada satu bentuk hubungan yang membolehkan kehidupan seseorang mempunyai kesinambungan ketika peranan, tuntutan dan keadaan berubah.
Rekod rasmi biasanya mencatat jawatan, keputusan dan pencapaian.
Ia jarang dapat menunjukkan bagaimana kepercayaan dibina, bagaimana tanggungjawab dirunding, atau bagaimana seseorang kekal berfungsi dalam tempoh yang panjang kerana adanya hubungan yang stabil di sekelilingnya.
Tun Hasmah dan Tun Mahathir ialah contoh yang mudah diperhatikan kerana kehidupan mereka banyak direkodkan. Namun persoalannya lebih luas daripada dua tokoh ini.
Jika ikatan sosial boleh mempengaruhi ketahanan dan keupayaan individu, apakah yang berlaku apabila nilai yang lahir daripada hubungan itu dibawa ke tempat kerja, institusi dan masyarakat?
Di sinilah perbincangan tentang keluarga bertemu dengan persoalan pembinaan negara bangsa.
IKATAN SEBAGAI MODAL
James S. Coleman dalam artikelnya melihat modal sosial sebagai sumber yang wujud dalam struktur hubungan antara individu. Antara bentuk yang dihuraikannya ialah kewajipan dan jangkaan, saluran maklumat serta norma sosial.
Modal sosial dalam keluarga dan komuniti mempunyai kesan terhadap pembentukan modal insan.
Ia membezakan antara apa yang dimiliki oleh seseorang dengan keadaan sosial yang membolehkan kebolehan itu digunakan. Pendidikan, kepakaran dan pengalaman ialah modal insan. Namun, semua itu tidak beroperasi dalam kekosongan.
Keupayaan seseorang mengekalkan komitmen, membuat keputusan, mengurus tekanan dan meneruskan tanggungjawab juga bergantung pada hubungan yang membentuk persekitaran hidupnya.
Robert D. Putnam melalui bukunya memberi perhatian kepada jaringan, timbal balik dan kepercayaan sebagai unsur yang memudahkan kerjasama. Modal sosial, dalam pengertian ini, bukan sekadar perasaan dekat antara manusia.
Ia menjadi sumber apabila hubungan itu menghasilkan kepercayaan yang boleh digunakan untuk bertindak bersama dan menyelesaikan urusan yang tidak dapat dilakukan secara bersendirian.
Kerangka ini membantu membaca hubungan Tun Hasmah dan Tun Mahathir dengan lebih berhati-hati. Nilainya bukan pada tempoh hubungan semata-mata dan tidak wajar pula pencapaian seorang individu dikreditkan kepada pasangannya.
Keadaan sosial yang memungkinkan dua individu mengekalkan peranan masing-masing dalam jangka panjang. Hubungan yang berasaskan kepercayaan dan tanggungjawab bersama boleh menjadi salah satu daripada keadaan tersebut.
KELUARGA
Hubungan yang kukuh hanya mempunyai nilai kepada masyarakat apabila norma yang lahir di dalamnya dapat bergerak melampaui kelompok sendiri.
Putnam membezakan antara bonding social capital, iaitu ikatan yang mengukuhkan kelompok sendiri, dengan bridging social capital yang menghubungkan seseorang kepada kelompok yang lebih luas.
Sebuah keluarga boleh sangat rapat, tetapi pembinaan negara memerlukan manusia yang mampu berlaku adil kepada orang yang tidak mempunyai pertalian dengannya, bekerjasama merentasi kelompok dan memegang amanah walaupun tiada faedah langsung kepada dirinya.
Nilai keluarga hanya memperoleh makna sosial apabila ia dapat dilihat pada tingkah laku di luar keluarga.
SUDUT ISLAM
Surah al-Rum ayat 21 lazimnya dihuraikan melalui konsep sakinah, mawaddah dan rahmah. Sakinah, mawaddah dan rahmah memberi arah moral kepada sebuah ikatan.
Ia bukan hanya soal hubungan yang bertahan, tetapi tentang sifat hubungan itu. Ketenteraman, kasih yang mengikat, serta belas ihsan yang membolehkan manusia berhadapan dengan kelemahan dan perubahan pada diri masing-masing.
Dengan kata lain, hubungan yang baik bukan sekadar rapat, ia mempunyai nilai yang mengawal cara seseorang memperlakukan orang lain.
Surah al-Taubah ayat 71 membawa tanggungjawab tersebut lebih jauh.
Ayat itu menggambarkan lelaki dan wanita beriman sebagai awliya’ antara satu sama lain dan menghubungkan hubungan tersebut dengan menyeru kepada kebaikan serta mencegah kemungkaran.
Ayat ini bukan khusus tentang suami isteri, tetapi prinsipnya penting: Sokongan sesama manusia tidak berhenti pada keselesaan peribadi. Ia mempunyai tuntutan moral dan sosial.
Hadis riwayat al-Tirmidhi daripada Aisyah RA memberikan ukuran yang sama dari sudut akhlak. Dalam Jami’ al-Tirmidhi, hadis no. 3895, Rasulullah SAW menyatakan bahawa yang terbaik ialah mereka yang paling baik terhadap keluarganya.
Ukuran kebaikan, dengan itu, bermula pada hubungan yang paling dekat. Tetapi bagi masyarakat, nilainya hanya lengkap apabila akhlak yang sama dibawa kepada orang lain dan kepada tanggungjawab yang lebih luas.
Kerangka Islam ini melengkapkan perbincangan tentang modal sosial dengan satu unsur yang penting, arah moral.
Hubungan menjadi bernilai apabila ia membentuk amanah, belas ihsan, saling membantu dan kesediaan melakukan kebaikan melebihi kepentingan kelompok sendiri.
NEGARA BANGSA
Pembinaan negara bangsa sering dibincangkan melalui dasar, institusi, ekonomi dan kepimpinan.
Semua itu penting, tetapi institusi tidak bergerak sendiri. Ia bergantung pada manusia yang mengendalikannya, dan manusia membawa bersama nilai, kebiasaan serta cara berhubung yang telah dibentuk jauh sebelum mereka memasuki sesuatu organisasi.
Sebab itu, hubungan antara ikatan sosial dengan negara bangsa tidak perlu dibesar-besarkan, tetapi juga tidak wajar diketepikan.
Modal sosial yang sihat membantu menghasilkan kepercayaan, kerjasama dan rasa tanggungjawab.
Modal insan pula lebih mudah berkembang apabila individu mempunyai jaringan yang membolehkannya belajar, bekerja dan mengekalkan peranan.
Apabila kedua-duanya bergerak ke luar daripada lingkungan keluarga, kesannya sampai kepada institusi dan masyarakat.
Tun Hasmah dan Tun Mahathir menonjol kerana nama mereka berada dalam rekod awam. Namun mekanisme sosial yang dibincangkan di sini tidak bergantung pada kemasyhuran.
Dalam banyak keluarga, pasangan dan anggota keluarga saling menyokong supaya masing-masing dapat belajar, bekerja, menjaga orang tua, membesarkan anak atau menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat.
Tidak semuanya menghasilkan nama yang dikenali, tetapi proses itulah yang membentuk tenaga manusia yang kemudian mengisi sekolah, hospital, universiti, perniagaan dan perkhidmatan awam.
Bagi seorang anggota masyarakat, perkara ini mengubah sedikit cara kita membaca pembinaan negara bangsa. Sejarah negara tidak hanya terbentuk melalui keputusan besar dari atas.
Ia juga bergantung pada proses sosial yang lebih perlahan: Bagaimana kepercayaan dibina, bagaimana tanggungjawab dipelajari dan bagaimana nilai daripada lingkungan terdekat dibawa kepada masyarakat yang lebih luas.
Hampir tujuh dekad kehidupan bersama Tun Hasmah dan Tun Mahathir tidak perlu dijadikan formula untuk kehidupan orang lain. Nilai sejarahnya terletak pada persoalan yang ditinggalkannya.
Apakah hubungan yang kita bina hanya menguatkan diri dan keluarga sendiri, atau turut membentuk manusia yang mampu berlaku amanah, bekerjasama dan menyumbang kepada orang lain?
Jika yang kedua, ikatan peribadi itu sudah memperoleh makna yang lebih besar. Ia menjadi sebahagian daripada modal sosial yang membantu sebuah negara bangsa berdiri dan berfungsi. – UTUSAN
DR. Sharifah Ismail ialah pensyarah di Unit Sejarah dan Kenegaraan Malaysia, Pusat Pengajian Bahasa Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).
The post Tun Hasmah dan ikatan yang dibina appeared first on Utusan Malaysia.





