sarah14/10/2026 - 11:28 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 14 Okt - Pelaburan dalam pusat data dan kabel dasar laut dijangka menjadi pemacu utama pertumbuhan jangka panjang Telekom Malaysia Bhd (TM), didorong permintaan yang semakin meningkat terhadap kesalinghubungan digital, menurut Philip Capital.
Dalam nota penyelidikannya, firma pembrokeran itu berkata, semua pusat data TM kini beroperasi pada tahap penggunaan hampir penuh, manakala pusat data TM Nxera Fasa 1 berkapasiti 64 megawatt (MW) telah memperoleh komitmen pelanggan bagi lebih 70% daripada kapasitinya.
Sebanyak 20MW pertama kemudahan itu mula beroperasi pada September 2026. Baki kapasiti dijangka turut mendapat pelanggan sebelum keseluruhan kemudahan beroperasi sepenuhnya. Permintaan yang semakin meningkat dan keperluan pelanggan terhadap kapasiti lebih besar juga mendorong jangkaan bahawa TM Nxera Fasa 2 akan mempunyai kapasiti melebihi fasa pertama.
Philip Capital berkata, kadar sewaan bagi setiap MW di TM Nxera adalah lebih tinggi dua digit berbanding pusat data sedia ada TM. Walaupun sumbangan hasilnya dalam tempoh terdekat dijangka masih kecil, kemudahan itu berpotensi mendorong pertumbuhan hasil segmen pusat data pada kadar dua digit dalam jangka panjang.

Selain pusat data, TM turut memperluas rangkaian kabel dasar laut bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat terhadap kesalinghubungan antarabangsa, ketika kapasiti kabel sedia ada menghampiri tahap penggunaan penuh.
Projek Asia Link Cable (ALC), yang telah mendarat di Malaysia, disasarkan mula beroperasi pada suku kedua 2027. Sementara itu, projek SEA-ME-WE-6 mengalami kelewatan susulan konflik di Timur Tengah, namun usaha sedang dijalankan untuk mengenal pasti laluan alternatif bagi mengelakkan kawasan terjejas. Sistem kabel Candle dan Asia United Gateway East (AUG East) turut dalam pembinaan.
Philip Capital mengunjurkan hasil TM Global berkembang 4% hingga 7% setahun bagi tempoh 2026 hingga 2028, didorong permintaan terhadap sambungan rangkaian 5G dan perkhidmatan data antarabangsa.
“Projek kabel dasar laut ini akan meningkatkan kapasiti kesalinghubungan antarabangsa TM, sekali gus menyokong pertumbuhan hasil TM Global,” menurut firma itu.
Kira-kira 80% hasil TM Global datang daripada perkhidmatan kesalinghubungan domestik, termasuk rangkaian mudah alih 4G dan 5G. TM menyediakan sambungan 5G di kira-kira 9,500 tapak dengan liputan melebihi 80%, manakala peningkatan penggunaan data melalui aplikasi IoT dan AI dijangka terus memacu permintaan terhadap infrastruktur rangkaian.
Purata hasil bagi setiap pengguna (ARPU) TM meningkat 5% tahun ke tahun kepada RM132 pada suku kedua 2026, tertinggi berbanding pesaingnya. Bagaimanapun, pelanggan Unifi hanya naik 1% kepada 3.2 juta susulan persaingan harga, manakala hasil berulang daripada penyewaan gentian optik kepada Maxis dan CelcomDigi menyokong kestabilan pendapatan.
Bagi suku ketiga 2026, Philip Capital menjangkakan hasil TM meningkat, dipacu TM Global, tetapi keuntungan bersih teras diunjurkan susut kepada RM430 juta hingga RM440 juta berbanding RM623 juta setahun sebelumnya, berikutan kadar cukai efektif yang kembali normal.
Firma itu mengekalkan saranan 'BELI' terhadap saham TM dengan harga sasaran RM9.17, disokong prospek pertumbuhan keuntungan teras 3.5% hingga 4.2% setahun bagi 2026 hingga 2028, dipacu pengembangan rangkaian 5G dan pelaburan pusat data. - DagangNews.com



