Pusat data, infra sokong prospek sektor pembinaan

Business & Finance
17 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Pusat data, infra sokong prospek sektor pembinaan

PETALING JAYA: Pertumbuhan sektor pembinaan Malaysia dijangka kekal sihat separuh kedua 2026, disokong oleh pelaksanaan projek infrastruktur awam serta peningkatan pembangunan pusat data berskala besar, menurut MBSB Research.

Firma penyelidikan berkata, pertumbuhan sektor pembinaan sederhana kepada 6.6 peratus tahun ke tahun pada suku kedua 2026 berbanding 7.7 peratus pada suku pertama.

“Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan pertumbuhan kekal menyeluruh, diterajui segmen bangunan bukan kediaman dan aktiviti pembinaan khusus, termasuk kerja struktur utama pusat data serta kerja pemasangan mekanikal, elektrikal dan paip (MEP).

“Data Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pula menunjukkan sebanyak 9,539 projek bernilai RM131.3 bilion dianugerahkan dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026.

“Nilai tersebut bersamaan 54.3 peratus daripada keseluruhan nilai projek yang dianugerahkan sepanjang 2025, iaitu RM241.9 bilion melibatkan 20,250 projek,” katanya dalam nota penyelidikan.

Selain itu, momentum penganugerahan projek infrastruktur awam turut bertambah baik menerusi kontrak sistem turnkey Laluan Mutiara LRT Pulau Pinang bernilai RM3.03 bilion kepada usaha sama MRCB-Theta Edge.

Pada masa sama, pakej kerja awam CMC1 yang diterajui Gamuda dilaporkan berkembang lebih cepat daripada jadual, dengan kemajuan kini mencapai lapan peratus.

Penganugerahan kerja pembinaan pusat data mencapai rekod RM9.72 bilion dalam tempoh lapan bulan pertama 2026, sudah mengatasi nilai RM9.26 bilion yang dicatatkan sepanjang 2025.

Nilai itu juga meningkat berbanding RM6.90 bilion pada 2024.

Sunway Construction Group Bhd (SunCon) menguasai 47 peratus daripada jumlah penganugerahan setakat ini, diikuti Gamuda sebanyak 35 peratus dan IJM Corporation Bhd. sebanyak tujuh peratus.

Saiz kontrak juga semakin besar dengan antara penganugerahan terbaharu pada Ogos termasuk pakej MEP berasingan SunCon bernilai RM1.02 bilion di Johor dan projek pusat data susulan Gamuda di Port Dickson bernilai RM1.71 bilion.

Purata saiz kontrak meningkat kepada RM972 juta berbanding RM892 juta pada 2025, menunjukkan skala pembangunan pusat data skala besar yang semakin berkembang.

Bagi separuh kedua 2026, sektor pembinaan dijangka mendapat sokongan daripada pelaksanaan beberapa projek infrastruktur utama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

“Anggaran nilai projek infrastruktur awam yang berada dalam saluran penganugerahan ialah antara RM12 bilion hingga RM14 bilion.

“Antara projek utama ialah pakej CMC2 Laluan LRT Pulau Pinang bernilai antara RM4 bilion hingga RM5 bilion yang disasarkan untuk dianugerahkan pada November 2026,” katanya. 

MBSB Research berkata, selain itu, Langat 2 Fasa 2 bernilai RM3 bilion hingga RM4 bilion telah memasuki proses perolehan selepas prakelayakan bagi Pakej 1 dan 2.

Projek Sungai Rasau Fasa 2 bernilai RM2 bilion hingga RM3 bilion pula berpotensi menawarkan pakej berkaitan bekalan air, manakala projek Kerian Water EPCC bernilai RM4 bilion hingga RM5 bilion semakin hampir selepas perjanjian bekalan air pukal selama 40 tahun ditandatangani pada Julai lalu.

Perkembangan berkenaan dijangka menjadi antara pemangkin utama pengisian semula buku pesanan kontraktor menjelang akhir tahun.

Pelaksanaan projek infrastruktur yang telah diluluskan juga berpotensi dipercepatkan susulan kalendar pentadbiran yang lebih aktif menuju 2027.

“Antara projek yang menjadi perhatian termasuk Lebuh Raya Pan Borneo Fasa 2 dengan anggaran kos pembinaan RM15 bilion dan Skim Lebuhraya Pantai Timur (SSLR) Fasa 2 bernilai RM7.4 bilion. 

“MRT3 dengan nilai RM31 bilion pula kekal sebagai pemangkin utama bagi sektor rel dalam jangka sederhana,” katanya. 

Dalam pada itu, firma penyelidikan berkata, Sabah dan Sarawak dijangka terus menjadi tumpuan apabila RM93.9 bilion telah diperuntukkan kepada enam negeri kurang membangun di bawah RMK-13 bagi projek jalan raya, air, elektrik dan kesalinghubungan.

“Sebanyak 70 peratus daripada 2,800 kilometer jalan luar bandar yang dirancang juga akan tertumpu di negeri-negeri berkenaan.

“Percepatan pelaksanaan projek dijangka memberi manfaat kepada kontraktor utama seperti Gamuda, IJM, MRCB dan WCT, selain syarikat pembinaan yang mempunyai pendedahan kukuh di Malaysia Timur,” katanya. – UTUSAN

The post Pusat data, infra sokong prospek sektor pembinaan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved