
PETALING JAYA: Unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2026 disemak naik kepada 5.2 peratus daripada 4.8 peratus, disokong jangkaan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada separuh kedua tahun ini antara 4.7 hingga 4.8 peratus.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, semakan itu didorong oleh daya tahan ekonomi negara meskipun berdepan tekanan luaran, termasuk konflik di Iran dan dasar perlindungan perdagangan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS).
“Ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan meskipun berdepan tekanan luaran termasuk kenaikan harga bahan api susulan konflik di Iran serta dasar perlindungan perdagangan AS.
“Pertumbuhan eksport bersih sebanyak 168 peratus menunjukkan peningkatan permintaan luaran memberi manfaat kepada sektor eksport negara, terutama industri elektrik dan elektronik (E&E) serta komoditi seperti gas asli cecair (LNG),” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sementara itu, Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pertumbuhan KDNK pada suku ketiga 2026 pula dijangka kekal kukuh antara 5.5 hingga 5.8 peratus, meskipun sedikit perlahan berbanding 6.0 peratus pada suku kedua.
“Pertumbuhan itu mungkin dipengaruhi kesan asas tinggi pada tempoh sama tahun lalu.
“Pertumbuhan suku ketiga dijangka kekal kukuh antara 5.5 hingga 5.8 peratus, namun mungkin sedikit perlahan berbanding 6.0 peratus pada suku kedua berikutan kesan asas yang tinggi tahun lalu,” katanya.
Menurut beliau, pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga akan terus disokong perbelanjaan kerajaan, aktiviti pelancongan dan perbelanjaan sempena musim perayaan, selain pelaburan berterusan.
“Perbelanjaan pembangunan dan projek infrastruktur dijangka meningkat menjelang pembentangan Bajet 2027, sekali gus menyokong aktiviti ekonomi.
“Selain itu, sambutan Hari Kebangsaan, cuti sekolah dan kemasukan pelancong dijangka terus mengukuhkan sektor perkhidmatan.
“Projek pusat data dan sektor pembuatan yang diluluskan sejak tahun lalu pula dijangka mula memberi sumbangan kepada pengeluaran,” katanya.
Bagaimanapun, Aimi Zulhazmi berkata, risiko terhadap pertumbuhan masih wujud sekiranya Rizab Persekutuan AS (Fed) mengekalkan kadar faedah tinggi untuk tempoh lebih lama atau permintaan dari China merosot lebih ketara.
“Namun, secara keseluruhan, asas ekonomi Malaysia masih cukup kukuh untuk mengekalkan pertumbuhan melebihi 5.0 peratus sepanjang 2026,” katanya. – UTUSAN
The post Pertumbuhan ekonomi tahun ini diunjur 5.2 peratus appeared first on Utusan Malaysia.






