liza17/08/2026 - 12:33 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Ogos – AmInvestment Bank menjangkakan hasil VSTECS Berhad meningkat kepada RM4.65 bilion bagi tahun kewangan 2026 (FY2026), daripada RM3.6 bilion pada FY2025 disokong pertumbuhan kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur pusat data.
Firma penyelidikan itu turut mengunjurkan keuntungan bersih teras VSTECS meningkat kepada RM118.1 juta pada FY2026, berbanding RM101.5 juta pada FY2025, sebelum masing-masing meningkat kepada RM138.7 juta dan RM172.2 juta pada FY2027 dan FY2028.
AmInvest berkata AI kekal sebagai pemangkin terbesar kepada pertumbuhan VSTECS untuk beberapa tahun akan datang dengan saluran projek berkaitan AI kini mencecah ratusan juta ringgit.
“Bagaimanapun, pelaksanaan projek AI masih tertangguh berikutan kapasiti pusat data yang terhad, walaupun permintaan terhadap teknologi berkenaan kekal kukuh,” kata AmInvest dalam nota kajiannya.
Dalam pada itu, VSTECS terus mencatat prestasi operasi yang kukuh apabila hasilnya melebihi RM1 bilion untuk suku ketiga berturut-turut, disokong pertumbuhan merentasi semua segmen perniagaan.
Segmen Teknologi Pelanggan Korporat dan Sektor Awam Jadi Pemacu Utama
Bagi suku kedua FY2026, hasil VSTECS meningkat 31.7% tahun ke tahun kepada RM1.08 bilion, berbanding RM819 juta dalam suku sama tahun sebelumnya.
Keuntungan bersih teras bagi suku berkenaan pula meningkat 24.7% kepada RM26 juta, manakala bagi tempoh enam bulan pertama FY2026, keuntungan bersih teras meningkat 19.7% kepada RM46 juta.
Pertumbuhan itu disokong prestasi semua segmen utama, dengan hasil pengedaran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) meningkat 28.2% kepada RM805 juta bagi enam bulan pertama FY2026.
Segmen sistem perusahaan mencatat pertumbuhan lebih ketara apabila hasil melonjak 58.8% kepada RM1.11 bilion, manakala hasil perkhidmatan ICT meningkat 8.8% kepada RM214 juta.
Dari segi keuntungan sebelum cukai, sistem perusahaan meningkat 65.8% kepada RM48 juta, manakala perkhidmatan ICT meningkat 43% kepada RM12 juta, menunjukkan sumbangan lebih besar daripada perniagaan perusahaan kepada prestasi kumpulan.
Harga Cip Memori Beri Kesan Bersih Positif
AmInvest berkata peningkatan harga cip memori yang pada asasnya meningkatkan kos komponen masih memberi kesan bersih positif kepada VSTECS.
“Ini kerana pengguna mempercepatkan pembelian sebelum kenaikan harga selanjutnya, manakala peningkatan kos komponen dapat diterjemahkan kepada harga jualan produk yang lebih tinggi dan mengimbangi kesan penurunan jumlah unit terjual.
“Kami menjangkakan permintaan terhadap peranti pengkomputeran kekal berdaya tahan kerana komputer semakin menjadi keperluan berbanding barangan pilihan, manakala harga cip memori berpotensi kekal tinggi dalam tempoh dua tahun akan datang,” katanya.
Namun, kekurangan bekalan cip memori global masih menjadi risiko kepada pasaran komputer.
Beberapa pengeluar PC dan komputer riba telah menaikkan harga sekitar 15% hingga 20%, manakala produk berkenaan menyumbang kira-kira 50% hingga 60% hasil segmen pengedaran ICT VSTECS.
Selain itu, sekitar 60% daripada perniagaan VSTECS berkaitan sektor awam, menyebabkan kelewatan pelaksanaan, kelulusan atau pembiayaan projek kerajaan berpotensi menjejaskan masa pengiktirafan hasil kumpulan.
AmInvest turut mengambil kira risiko geopolitik, gangguan rantaian bekalan dan kebergantungan kepada jenama teknologi global, selain projek pusat data yang bersifat tidak sekata boleh menyebabkan turun naik inventori, penghutang dan modal kerja.
AmInvest Kekal Saranan Beli
Walaupun berdepan beberapa risiko, AmInvest mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap VSTECS dengan harga sasaran RM2.40 sesaham, berbanding harga RM1.83.
Harga sasaran berkenaan mencerminkan potensi kenaikan sekitar 35%, dengan penilaian dibuat berdasarkan gandaan harga kepada keuntungan (PE) sebanyak 16 kali dan purata keuntungan sesaham (EPS) tahun kalendar 2027 dan 2028.
AmInvest berkata kedudukan kukuh VSTECS dalam pasaran, rangkaian lebih 4,000 rakan niaga serta peralihan kepada pelanggan perniagaan yang menawarkan margin lebih tinggi menyokong kualiti pertumbuhan kumpulan dalam tempoh akan datang.
Firma itu turut melihat peningkatan perbelanjaan teknologi maklumat, keperluan infrastruktur berkaitan AI, kitaran penggantian perkakasan yang lebih pantas dan peralihan kepada perkhidmatan awan sebagai faktor yang boleh menyokong pertumbuhan VSTECS. - DagangNews.com






