Pusat data tidak jejas bekalan air domestik di Selangor

LocalTechnology
6 Aug 2026 • 11:57 AM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

Pusat data tidak jejas bekalan air domestik di Selangor

SHAH ALAM, 6 OGOS: Permintaan pembinaan pusat data di Selangor tidak memberi tekanan terhadap bekalan air domestik, khususnya di kawasan berpenduduk padat.

EXCO Pelaburan Ng Sze Han berkata setiap permohonan bekalan air bagi industri pusat data akan dinilai berdasarkan keupayaan sistem bekalan air sedia ada serta unjuran permintaan air terawat pada masa hadapan.

Beliau berkata pemaju pusat data turut digalakkan menggunakan teknologi penyejukan yang lebih menjimatkan air seperti sistem penyejukan udara, selain memanfaatkan sumber air alternatif termasuk air kitar semula.

“Pada masa ini, margin rizab air terawat Air Selangor adalah 16.23 peratus atau bersamaan 1,055 JLH, sekali gus menunjukkan masih terdapat lebihan bekalan air terawat bagi menampung keperluan industri pusat data serta pembangunan baharu.

“Selain itu, pemaju pusat data dikehendaki menyediakan infrastruktur bekalan air baharu, termasuk paip agihan dari kolam air yang bersesuaian, serta tangki simpanan air luaran dan dalaman yang mampu menampung bekalan selama tiga hari.

“Air Selangor juga sentiasa meneliti keperluan bekalan air untuk pusat data pada masa hadapan, dengan unjuran permintaan dianggarkan mencecah kira-kira 632 MLD,” katanya.

Beliau menjawab soalan Ahli Dewan Negeri (ADN) Hulu Bernam, Mu'izzuddeen Mahyuddin berhubung isu sokongan bekalan utiliti kepada pusat data pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Sze Han berkata Kerajaan Negeri berpandangan pelaburan dalam sektor pusat data merupakan sebahagian daripada ekosistem yang menyokong pembangunan industri berteknologi tinggi seperti kecerdasan buatan (AI) dan semikonduktor.

Menurutnya, sebanyak 39 projek pusat data diluluskan di Selangor sepanjang tempoh 2021 hingga 2025, sekali gus mewujudkan lebih 2,400 peluang pekerjaan dalam pelbagai bidang termasuk teknikal.

“Di pihak Kerajaan Negeri, kami sentiasa memberi penekanan kepada pembangunan industri pusat data yang mampan dan seimbang dengan keperluan alam sekitar serta kesejahteraan rakyat,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved