Selangor jamin bekalan air kekal mencukupi walaupun pelaburan pusat data meningkat

LocalTechnology
6 Aug 2026 • 2:39 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Selangor jamin bekalan air kekal mencukupi walaupun pelaburan pusat data meningkat Image from: Selangor jamin bekalan air kekal mencukupi walaupun pelaburan pusat data meningkat liza06/08/2026 - 14:39 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Ogos – Kepesatan pembangunan pusat data di Selangor tidak menjejaskan bekalan air untuk kegunaan harian rakyat kerana negeri itu masih mempunyai kapasiti air terawat yang mencukupi bagi menampung pertumbuhan industri berkenaan.

 

Tambahan pula, setiap projek pusat data yang dicadangkan tidak diluluskan secara automatik, sebaliknya melalui proses penilaian menyeluruh bagi memastikan keperluan utiliti, alam sekitar dan infrastruktur dapat dipenuhi tanpa memberi kesan kepada pengguna sedia ada.

 

Pendekatan itu dilihat penting memandangkan pusat data merupakan antara pemacu utama pelaburan digital negara, namun pada masa sama memerlukan penggunaan air dan tenaga yang tinggi untuk tujuan penyejukan serta operasi harian.

 

Sehubungan itu, setiap cadangan pembangunan akan dinilai sejak peringkat awal bagi memastikan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kepentingan masyarakat terus dipelihara.

 

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perdagangan dan Mobiliti Selangor, Ng Sze Han berkata, kerajaan negeri mengadakan mesyuarat penyelarasan pra-pelaburan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT), agensi teknikal dan penyedia utiliti sebelum sesuatu projek diberi kelulusan.

 

Penilaian Awal Pastikan Infrastruktur Bersedia

Menurut beliau, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) Selangor turut terlibat dalam proses itu bagi meneliti pelbagai aspek termasuk keperluan bekalan elektrik dan air, kawalan bunyi, pelepasan udara, pematuhan terhadap syarat alam sekitar serta kesiapsiagaan infrastruktur.

 

“Kerajaan Persekutuan melalui Pasukan Petugas Khas Pusat Data (DCTF) juga menjalankan saringan di peringkat awal bagi memastikan pembangunan pusat data menggunakan sumber secara cekap dan mampan,” katanya.

 

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mu'izzuddeen Mahyuddin (PN-Hulu Bernam) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor berhubung jaminan bahawa margin rizab air domestik negeri tidak akan terjejas susulan peningkatan permintaan daripada industri pusat data.

 

Mengulas mengenai kapasiti bekalan air, Ng berkata, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ketika ini mempunyai margin rizab air terawat sebanyak 16.23% atau bersamaan 1,055 juta liter sehari (MLD).

 

Beliau berkata, kapasiti tersebut masih mencukupi untuk memenuhi permintaan daripada pembangunan baharu termasuk pusat data, selain memastikan bekalan kepada pengguna domestik terus terjamin.

 

Syarikat Tempatan Turut Nikmati Limpahan Pelaburan

Dalam pada itu, setiap pemaju pusat data diwajibkan membangunkan sendiri infrastruktur bekalan air yang diperlukan termasuk paip agihan daripada takungan yang sesuai serta menyediakan tangki simpanan air dalaman dan luaran yang mampu menampung bekalan selama tiga hari.

 

Langkah itu, katanya, bertujuan memastikan operasi pusat data tidak bergantung sepenuhnya kepada sistem bekalan sedia ada sehingga boleh menjejaskan pengguna lain, manakala Air Selangor terus menyemak unjuran permintaan air yang dianggarkan mencecah 632 juta liter sehari pada masa depan.

 

Selain aspek utiliti, kerajaan negeri turut menetapkan syarat supaya sekurang-kurangnya 30% syarikat dan perniagaan tempatan digunakan dalam setiap pelaburan pusat data bagi membolehkan lebih banyak syarikat Malaysia menyertai rantaian bekalan industri tersebut.

 

Berdasarkan data Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), sebanyak 39 projek pusat data telah diluluskan di Selangor bagi tempoh 2021 hingga 2025.

 

Pelaburan berkenaan dijangka mewujudkan lebih 2,400 peluang pekerjaan merangkumi bidang teknikal, teknologi maklumat (IT), kejuruteraan, pentadbiran dan pelbagai jawatan lain, sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab pelaburan digital negara. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved