
SUNGAI BULOH: Pembukaan pusat pemeriksaan kenderaan swasta mampu mengurangkan kesesakan serta tempoh menunggu bagi urusan pemeriksaan pertukaran hak milik kenderaan.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif pembukaan pusat pemeriksaan yang mematuhi piawaian ditetapkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), termasuk Pusat Pemeriksaan M.V.15 CARSOME Academy.
Katanya, kemudahan moden di pusat berkenaan membolehkan keseluruhan proses daripada pendaftaran hingga pemeriksaan selesai dilakukan dalam tempoh kurang 20 minit.
“Pengguna hanya memerlukan masa kurang daripada 20 minit bermula pendaftaran hingga selesai pemeriksaan kenderaan jika mengikut tetapan masa yang betul.
“Langkah ini bertujuan memastikan perkhidmatan lebih pantas, mudah dan fleksibel tanpa membazirkan masa orang ramai,” katanya selepas Majlis Pelancaran Pusat Pemeriksaan M.V.15 CARSOME Academy di sini, hari ini. Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CARSOME Academy merangkap Pengasas Bersama Kumpulan CARSOME, Teoh Jiun Ee.
Anthony berkata, kerajaan menetapkan harga seragam bagi pemeriksaan M.V.15 di semua pusat bagi melindungi pengguna daripada dikenakan caj berlebihan.
Katanya, penetapan harga itu juga penting bagi mengelakkan persaingan tidak sihat yang boleh menjejaskan daya maju industri automotif tempatan.
“Pemain industri digalakkan bersaing dari aspek kualiti perkhidmatan, ruang menunggu yang selesa dan berhawa dingin serta kemudahan terbaik,” katanya.
Sementara itu, Jiun Ee berkata, pembukaan pusat itu mencerminkan komitmen pihaknya melahirkan pemeriksa berkemahiran, mengekalkan standard pemeriksaan tinggi dan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap proses pertukaran hak milik kenderaan.
Ia turut memberikan peluang kepada golongan profesional automotif masa depan menimba pengalaman praktikal industri melalui akademi berkenaan. – UTUSAN
The post Pusat pemeriksaan swasta atasi kesesakan JPJ appeared first on Utusan Malaysia.






