Pusat sokong pesakit kanser payudara, penjaga dilancar

LocalHealth & Fitness
1 Nov 2026 • 9:18 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Pusat sokong pesakit kanser payudara, penjaga dilancar

Kota Kinabalu: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor memuji usaha Sabah Kinabalu Pink Ribbon (SKPR) menubuhkan The Pink Haven, sebuah pusat yang menyediakan sokongan kepada pesakit kanser payudara dan penjaga mereka sepanjang menjalani rawatan khusus.

“Bagi pesakit yang datang dari kawasan luar bandar dan daerah lain di Sabah ke Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan, perjalanan itu boleh menjadi sesuatu yang memenatkan dari segi fizikal, mencabar emosi dan membebankan kewangan.

“Pesakit dan penjaga mereka mungkin terpaksa berjauhan dari rumah serta keluarga ketika berdepan dengan ketidaktentuan akibat diagnosis kanser.

“The Pink Haven merupakan sebuah ‘rumah kedua’ yang membantu meringankan beban pesakit yang terpaksa melakukan perjalanan untuk mendapatkan rawatan.

Lebih daripada sekadar sebuah bangunan, pusat ini menawarkan keselesaan, menjaga maruah pesakit dan memberi keyakinan bahawa tiada siapa perlu melalui perjalanan ini secara bersendirian,” katanya pada majlis perasmian The Pink Haven (SKPR) di sini, Sabtu.

Teks ucapan Ketua Menteri disampaikan oleh Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Rina Jainal.

Hajiji berkata, Kerajaan Negeri mengiktiraf kepentingan inisiatif seperti The Pink Haven serta kerjasama dengan institusi kesihatan, pertubuhan masyarakat, penyumbang dan sukarelawan dalam membantu mereka yang terjejas akibat kanser.

Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana peruntukan sebanyak RM300,000 yang diluluskannya dua tahun lalu telah membantu merealisasikan pengoperasian pusat berkenaan dan dimanfaatkan dengan sebaiknya.

Katanya, sejak penubuhannya pada 2010, SKPR telah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran mengenai kanser payudara, memberi sokongan kepada pesakit dan mereka yang terselamat daripada kanser serta membantu keluarga dan masyarakat memahami kepentingan memberikan sokongan kepada golongan yang terjejas.

“Dengan penubuhan The Pink Haven, SKPR telah melangkah setapak lagi dalam usahanya dengan menterjemahkan keprihatinan kepada bantuan yang praktikal,” katanya.

Hajiji turut merakamkan penghargaan terhadap wawasan Penaung dan Pengasas SKPR, Datin Lucilla Pang, yang pengalamannya sebagai seorang bekas pesakit kanser payudara telah menjadi inspirasi kepada penubuhan persatuan itu.

“Marilah kita terus bekerjasama, sama ada kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, pertubuhan masyarakat, sektor perniagaan mahupun orang awam, bagi memastikan mereka yang terjejas bukan sahaja menerima rawatan perubatan, tetapi juga sokongan praktikal dan emosi yang diperlukan.

“Semoga The Pink Haven terus menjadi tempat yang memberikan harapan, pemulihan dan sokongan yang berkekalan. Semoga ia mengingatkan kita bahawa keprihatinan membawa makna yang paling besar apabila diterjemahkan kepada tindakan. Saya mendoakan agar SKPR terus berjaya dalam melaksanakan misinya,” katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved