
LONDON: Mahkamah Tinggi di London pada Jumaat memerintahkan anak pemerintah United Kingdom (UK), Raja Charles III iaitu Putera Harry, penyanyi terkenal, Elton John dan enam plaintif lain membayar £9.5 juta (RM52 juta) sebagai bayaran awal untuk menampung kos guaman tabloid Britain, The Daily Mail.
“Mahkamah memerintahkan plaintif membuat bayaran interim sebanyak £9.5 juta sebelum 28 Ogos, menurut ringkasan keputusan mahkamah, selepas mereka kalah awal tahun ini dalam tuntutan yang mendakwa berlakunya pengumpulan maklumat secara tidak sah dan pencerobohan privasi.
Putera Harry dan enam plaintif lain perlu membayar jumlah itu kepada The Daily Mail selepas seorang hakim memutuskan bahawa kes penggodaman yang mereka bawa telah diteruskan dengan cara yang sangat tidak munasabah.
Para plaintif termasuk pengurus artis, David Furnish, pelakon Elizabeth Hurley dan Sadie Frost menuduh The Daily Mail memasang alat pengintip di dalam kereta dan rumah mereka, mencuri dengar panggilan telefon serta mengakses akaun bank selain rekod perubatan.
Selepas perbicaraan selama 11 minggu yang berlangsung dengan penuh emosi, hakim Matthew Nicklin memihak kepada penerbit akhbar berkenaan dalam keputusan yang diumumkan pada 7 Julai, dengan menyimpulkan bahawa para plaintif gagal membuktikan dakwaan yang dikemukakan dalam tuntutan mereka.
Mereka diberi tempoh tujuh hari untuk membuat bayaran itu, menurut perintah Mahkamah Tinggi.
Hakim turut mengeluarkan perintah indemniti yang jarang diberikan, mewajibkan para plaintif menanggung sebahagian besar kos tindakan undang-undang mereka yang gagal itu.
Perintah sedemikian biasanya hanya dikeluarkan dalam kes apabila hakim berpendapat bahawa terdapat tingkah laku yang tidak wajar atau salah laku.
Beliau memutuskan bahawa perintah tersebut wajar kerana tindakan undang-undang terhadap The Daily Mail telah dijalankan dengan cara yang jauh menyimpang daripada kebiasaan.
Hakim itu berkata: “Tuntutan tersebut dan cara ia dikemukakan, dihujahkan, diteruskan, dipertahankan selain diketengahkan kepada umum melibatkan gabungan keadaan, tindakan yang menyebabkan prosiding itu menyimpang daripada tatakelakuan biasa dan munasabah dalam prosiding sivil.”
Beliau menambah: “Kesan kumulatif daripada perkara-perkara ini menyebabkan kes tersebut jauh menyimpang daripada kebiasaan. Tindakan itu sangat tidak munasabah.” – AGENSI
The post Putera Harry bersama enam plaintif kena bayar RM52 juta kepada akhbar tabloid appeared first on Utusan Malaysia.






