
BANGKOK – Anak lelaki Raja Thailand yang hidup dalam buangan, Dr. Chakriwat ‘Than Aong’ Vivacharawongse, dilaporkan telah membuat rayuan terbuka untuk pulang ke tanah airnya bagi menjalani pembedahan otak kecemasan.
Rayuan itu selepas kos rawatan di Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) dilaporkan mencecah sehingga AS$2 juta (kira-kira RM8.71 juta).
Memetik laporan akhbar Bangkok Post, Dr. Chakriwat, 43, yang kini berada di Malaysia, mendedahkan bahawa tahap kesihatannya merosot dengan drastik akibat penyakit genetik kronik, Neurofibromatosis jenis 2 (NF2) yang dihidapinya sejak berusia 13 tahun.
Penyakit tersebut menyebabkan ketumbuhan tumor pada sistem saraf dan otaknya.
Menurut laporan itu, beliau kini berdepan simptom kritikal termasuk serangan sawan berulang, bengkak otak, serta kelemahan pada otot tangan dan kaki yang menyebabkannya sukar berjalan.
Pakar perubatan di Malaysia memberi peringatan bahawa pembedahan otak terbuka perlu dilakukan dengan segera bagi membuang dua tumor besar kerana sebarang kelewatan boleh mengancam nyawanya.
“Kos pembedahan dan rawatan susulan di Malaysia serta AS adalah sangat mahal. Wang simpanan peribadi dan insurans kesihatan saya di AS sudah tidak lagi mencukupi untuk menampung kos yang mencecah jutaan ringgit ini,” katanya dipetik daripada kenyataan video di media sosialnya.
Beliau menambah, hasratnya untuk pulang juga didorong oleh keyakinan tinggi terhadap kepakaran doktor perubatan di Thailand, selain rayuan kemanusiaan untuk mendapatkan rawatan di negara sendiri sebagai seorang warganegara, selepas baru-baru ini berjaya memperoleh kad pengenalan Thailand yang baharu.
Dr. Chakriwat merupakan anak lelaki ketiga hasil perkahwinan Raja Maha Vajiralongkorn bersama bekas isteri, Sujarinee Vivacharawongse. Beliau bersama ibu dan adik-beradik lelakinya telah diusir keluar dari Thailand sejak tahun 1996 dan tidak lagi memegang sebarang gelaran diraja rasmi.
Difahamkan, keadaan kewangan beliau yang meruncing adalah disebabkan tiada lagi bantuan kewangan atau pengiktirafan rasmi daripada pihak Istana Thailand sejak tiga dekad lalu. – Agensi
The post Putera Raja Thai rayu pulang ke tanah air, kos rawatan otak cecah RM8.7 juta appeared first on Kosmo Online.






