SC raikan 190 graduan kohort kedua, Program Kepimpinan investED

24/04/2025 - 17:37
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 24 April - Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) meraikan satu lagi pencapaian dalam pembangunan bakat negara apabila lebih 190 siswazah berjaya menamatkan kohort kedua Program Kepimpinan investED.
Ia dapat mengukuhkan usaha SC dalam menyediakan tenaga kerja berkemahiran tinggi untuk industri pasaran modal.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman, yang memuji inisiatif itu sebagai pemacu utama pembangunan modal insan masa depan.
Program itu dilancarkan pada Jun 2023 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Program itu direka khas untuk meningkatkan kebolehpasaran siswazah tempatan melalui latihan menyeluruh dalam pelbagai bidang.
"Program ini turut dilengkapi bakat muda bukan sahaja dengan kemahiran teknikal, tetapi juga keyakinan dan pendedahan industri yang diperlukan untuk berkembang maju dalam landskap pasaran modal yang dinamik.
"Ia merupakan pelaburan jangka panjang dalam bakat negara," katanya dalam satu kenyataan.
Dengan penglibatan kerjasama strategik antara SC, Kementerian Kewangan, Kementerian Pendidikan Tinggi, institusi pasaran modal dan university awam dan swasta, investED kini menjadi antara platform latihan industri paling komprehensif di Malaysia.
Sejak diperkenalkan, program tersebut telah melatih 368 orang siswazah dan berjaya membantu 233 daripadanya mendapatkan pekerjaan dalam sektor berkaitan.
Kohort kedua yang bermula pada Ogos 2024 menerima lebih 1,200 permohonan, dengan peserta terpilih mengikuti pembelajaran intensif selama sebulan di Asia School of Business sebelum menjalani latihan industri selama enam bulan di syarikat-syarikat pasaran modal.
Pengerusi SC, Datuk Mohammad Faiz Azmi berkata, investED bukan sekadar latihan, malah merupakan penyambung antara Pendidikan formal dan kerjaya profesional.
"Program ini melengkapkan bakat muda bukan sahaja dengan kemahiran teknikal, tetapi juga keyakinan dan pendedahan industri yang diperlukan untuk berkembang maju dalam landskap pasaran modal yang dinamik. Ini adalah pelaburan jangka panjang dalam bakat negara," katanya.
Permohonan untuk kohort ketiga kini dibuka sehingga 30 Jun 2025, dengan peserta terpilih bakal menerima elaun bulanan sebanyak RM2,400 sepanjang tempoh latihan.
Sementara itu, Program Asasi investED yang diuruskan oleh Perbadanan Pembangunan Industri Sekuriti (SIDC), terus mencatat pencapaian memberangsankan. Sepanjang tahun lalu, lebih 1,000 pelajar telah menyertai program itu melebihi sasaran tahunan sebanyak 800 peserta.
Secara keseluruhan, investED telah mengadakan 44 taklimat kerjaya dan 13 karnival kerjaya di seluruh negara, melibatkan lebih 110,600 pelajar sejak dua tahun lalu. Daripada jumlah itu, 13,500 pelajar telah menyertai sesi taklimat kerjaya, melepasi sasaran tiga tahun dalam tempoh kurang daripada dua tahun.- DagangNews.com
standard


