UM dan UTM muncul antara Universiti Pilihan Majikan 2025 disenaraikan Talentbank

24/04/2025 - 13:12
Oleh 'AINA SYAZWINA
KUALA LUMPUR 24 April – Universiti Malaya (UM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) muncul dalam Senarai Universiti Pilihan Majikan 2025, dikeluarkan Talentbank yang menampilkan lulusan universiti yang paling mendapat permintaan tinggi majikan di seluruh negara.
Majlis pelancaran pengumuman itu diadakan di EQ Kuala Lumpur, dan disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud.
Berbeza dengan penarafan akademik konvensional, senarai ini disusun sepenuhnya berdasarkan data pengambilan pekerja sebenar yang diperoleh terus daripada majikan-majikan utama di seluruh Malaysia.
Antaranya, termasuk Petronas, Maybank, dan CelcomDigi.
Penarafan itu menggunakan Indeks Kebolehpasaran Siswazah Kebangsaan Talentbank (GE Index) yang berasaskan tiga kriteria utama iaitu universiti pilihan utama majikan, jumlah pengambilan graduan, dan kadar pengambilan semula berdasarkan prestasi graduan.
Maklumat berkenaan diperoleh daripada Indeks Kebolehpasaran Siswazah Kebangsaan Talentbank, menggunakan metodologi tiga peringkat iaitu mengenal pasti universiti yang menjadi sasaran majikan, mengukur jumlah pengambilan, dan mengenal pasti pengambilan semula berdasarkan prestasi lulusan.
Antara universiti awam yang menjadi pilian Utama majikan, termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Universiti-universiti itu diiktiraf kerana melengkapkan pelajar dengan kemahiran, kecekapan yang diperlukan untuk cemerlang dalam pelbagai sektor.
Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho berkata, pihaknya komited dalam memperkasakan graduan tempatan untuk lebih bersedia menghadapi dunia pekerjaan.
Sempena ulang tahun ke-15 Talentbank, organisasi itu turut melancarkan Career Playbook, panduan untuk lepasan sekolah, pelajar university, dan siswazah muda.
Panduan itu merangkumi aspek penting seperti pemilihan industri berpotensi, pembangunan kemahiran kebolehpasaran, dan strategi permohonan kerja.
"Menerusi inisiatif seperti Senarai Universiti Pilihan Majikan dan pelancaran Career Playbook, kami terus komited untuk membimbing pelajar dan ibu bapa dalam membuat keputusan pendidikan dan kerjaya yang lebih tepat dan berkesan.
"Kami melabur dalam penyelidikan untuk mengenal pasti university pilihan majikan dalam mengambil pekerja. Kami berharap panduan ini akan menjadi sumber rujukan utama dalam merancang masa depan kerjaya anak-anak," katanya.
Universiti Sunway mengekalkan kedudukan sebagai institusi utama di Malaysia untuk kebolehpasaran siswazah selama empat tahun berturut-turut, mengukuhkan reputasinya dalam menghasilkan lulusan universiti yang diperlukan.
Universiti lain yang turut tersenarai ialah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), Heriot-Watt University Malaysia, Asia Pacific University of Technology & Innovation (APU), International Medical University (IMU) dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).- DagangNews.com
standard


