SHAH ALAM, 2 MAC: Pemain muda terbaik Liga Super Wanita Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) Qaseh Rania bakal memeterai kontrak selama tiga tahun bersama pasukan gergasi Eropah VFL Wolfsburg pada Ogos ini.
Bapanya Khairul Najib Ibrahim berkata urusan visa dan permit membabitkan pemain wanita muda itu sudah dimuktamadkan dengan bantuan VFL Wolfsburg Malaysia.

“Persatuan Bola Sepak (FAM) akan membantu latihan Rania sebagai persiapan ke Jerman. Pertemuan telah diadakan bersama Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Wanita FAM Datuk Suraya Yaacob dan Ketua Unit Bola Sepak Wanita Soleen Al-Zou’bi kelmarin.
“Anak saya juga sedang mempelajari bahasa Jerman di Institusi German-Malaysia (GMI) Bangi untuk membantu kemudahan komunikasi sebelum berkelana ke Eropah Ogos depan,” katanya ketika dihubungi.
Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor meluahkan rasa bangga terhadap pencapaian bekas pemain Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) FC.

“Yayasan MBI menjadi agensi pertama membantu Rania ketika tiada mana-mana pihak memandang bakat beliau ketika itu.
“Kami juga membantu Rania mendapat tempat untuk pembelajaran bahasa Jerman di GMI Bangi untuk melengkapkan bantuan bukan sahaja dari segi fizikal, mental malah komunikasi,” ujarnya.
Yayasan MBI membantu membangunkan bakat Rania sejak 2020 termasuk menaja kos RM15,000 ketika mengikuti program latihan bersama kelab NK Osijek (Liga 1 Croatia) pada 2022.
Ketika berusia 13 tahun, video pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Puchong tersebut menjaringkan gol menerusi satu sepakan percuma menjadi tular di media sosial dan menjadi bualan orang ramai apatah lagi dia bermain bersama pasukan lelaki ketika itu.
The post Qaseh Rania sertai VFL Wolfsburg Ogos ini, kontrak tiga tahun appeared first on Selangorkini.



