amree07/09/2026 - 11:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Sept — QES Group Berhad perlu mengekalkan momentum tempahan baharu dan mempercepat pengkomersialan projek strategik bagi mencapai sasaran hasil RM500 juta menjelang FY30, menurut Public Investment Bank (PublicInvest).
Kumpulan itu kini berdepan cabaran untuk memperluas sumber pertumbuhan di luar perniagaan teras, namun momentum tempahan semakin meningkat serta kerjasama dengan pemain China dalam teknologi pemeriksaan sinar-X dan pembungkusan termaju memberi prospek lebih positif.
Ujarnya, tempahan belum dilaksanakan naik kepada RM155 juta pada akhir Ogos 2026 daripada RM137 juta pada bulan sebelumnya, menunjukkan kumpulan memperoleh kira-kira RM45 juta tempahan baharu dalam tempoh sebulan.
"Justeru, kami mengekalkan penarafan 'outperform' dengan harga sasaran (TP) 66 sen sesaham berdasarkan 20 kali unjuran pendapatan sesaham (EPS) QES sendiri pada FY27," kata PublicInvest dalam nota analisisnya.
Daripada jumlah RM155 juta tersebut, sebanyak RM111 juta datang daripada segmen kejuruteraan manakala RM44 juta daripada segmen pembuatan yang didominasi sektor semikonduktor bernilai RM32 juta, dan RM2 juta lagi adalah daripada segmen teknologi perubatan.
Jelas firma itu, kumpulan tersebut turut mula menerima tempahan mesin pemeriksaan daripada dua pemain optik fotonik berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), dan walaupun sumbangan sektor itu kini hanya 10%, ia berpotensi naik susulan rancangan pengembangan agresif pemain optik fotonik AS.
Dari segi kapasiti ujar PublicInvest, QES sedang menghentikan secara berperingkat beberapa mesin Computer Numerical Control (CNC) yang berusia di kilang Shah Alam, Selangor bagi menyediakan ruang tambahan untuk barisan pengeluaran baharu.

"Sementara itu, kilang baharu di Batu Kawan, Pulau Pinang dijangka mencapai penggunaan penuh apabila projek peralatan pembungkusan termaju mula beroperasi secara komersial pada suku pertama FY27," tambahnya.
Salah satu tumpuan utama ialah kerjasama dengan Unicomp Technology, yang dijangka membuka peluang dalam pasaran pemeriksaan pembungkusan termaju, selain membolehkan jualan silang produk di China dan Asia Tenggara.
Kerjasama itu kata PublicInvest, dijangka membolehkan QES mendapatkan peralatan serta tiub sinar-X pada harga yang lebih kompetitif, sekali gus mengurangkan kebimbangan berkaitan kekangan bekalan.
Mereka juga merancang meneroka bersama pasaran pemeriksaan pembungkusan termaju bagi aplikasi QFN, QFP dan BGA di ASEAN dengan menawarkan pakej yang menarik, dengan firma itu menganggarkan saiz pasaran yang masih belum diterokai sekitar RM150 juta setahun, sekali gus berpotensi menjadi sumber pertumbuhan baharu kumpulan.
"Dalam segmen teknologi perubatan, ia mencatat perkembangan positif selepas berjaya menghantar 12 unit Sensor Automated Vision Inspection dan lapan unit Reject Viewer Station di bawah siri SMS sepanjang tahun ini, yang menyumbang RM21 juta kepada hasil dan dijangka ada tempahan berulang pada tahun depan," katanya.
Pada masa sama jelas PublicInvest, QES turut merancang mempelbagaikan asas pelanggan dan penawaran produknya dalam industri Med-Tech bagi mengurangkan kebergantungan kepada kumpulan pelanggan sedia ada.
Strategi ini tambahnya, dilihat sebagai penting bagi memastikan pertumbuhan hasil lebih seimbang ketika kumpulan memperluas ke pasaran semikonduktor, optik fotonik dan pembungkusan termaju.
Firma penyelidikan tersebut turut menjangkakan dua projek kerjasama dengan pemain China itu memainkan peranan penting dalam usaha QES mencapai sasaran hasil RM500 juta menjelang FY30, yang memerlukan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul (CAGR) sekitar 14%.
"Peningkatan tempahan kepada RM155 juta pula memberi petunjuk bahawa momentum pengambilan tempahan QES semakin pulih dan berpotensi menyokong pertumbuhan pendapatan dalam tempoh terdekat," kata PublicInvest.
Selain itu, kumpulan akan menerbitkan saham penempatan persendirian sebanyak 10% kepada Unicomp pada harga 53 sen sesaham untuk mengumpul hasil RM44.1 juta, iaitu diskaun kira-kira 6% berbanding harga penutup terakhir.
Justeru ujar firma berkenaan, unjuran pendapatan dan TP sudah mengambil kira asas saham baharu tersebut, sambil mengekalkan pandangan positif terhadap kumpulan tersebut. - DagangNews.com





