Dalam beberapa bulan dan tahun kebelakangan ini, Qualcomm dilihat telah melakukan banyak keputusan perniagaan yang memperlihatkan mereka mula mengalihkan fokus dari sektor pembuatan cip pemprosesan untuk peranti pintar sahaja.
Semalam kami telah melaporkan bahawa syarikat pereka cip pemprosesan tersebut sedang dalam perbincangan untuk mengambil-alih syarikat pemula pereka cip AI Modular Inc. Terkini, ia sedang dilaporkan bahawa Qualcomm juga sedang dalam perbincangan untuk membantu mereka cip khas untuk syarikat platform digital ByteDance.
Seperti yang sedia maklum, ByteDance kini dilihat sedang dalam proses merekacipta cip pemprosesan AI mereka sendiri untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pengeluar-pengeluar cip pemprosesan besar seperti NVIDIA, Intel dan AMD.

Qualcomm dilihat sebagai syarikat pembekal cip pemprosesan peranti pintar yang termaju di dunia, dan memegang peratusan besar dari segi pegangan pasaran, tetapi persaingan daripada syarikat-syarikat lain seperti MediaTek, Samsung, Huawei dan sebagainya nampaknya telah membuatkan tonggak kepimpinan syarikat tersebut untuk mula memikirkan cara-cara untuk mempelbagaikan penawaran cip pemprosesan mereka kepada sektor-sektor teknologi lain seperti AI dan automotif secara lebih serius.
Tidak banyak butiran yang diketahui tentang perbincangan tersebut buat masa ini, dan sama ada Qualcomm akan mendapatkan kontrak untuk merekacipta cip tersebut. Fokus ByteDance kini nampaknya adalah untuk membangunkan cip pemprosesan video (Video Processing Unit) untuk pemprosesan video yang lebih pantas, dimana sebelum ini mereka juga dilihat telah memulakan proses merekacipta cip pemprosesan AI sendiri untuk tujuan inferens AI dan pemprosesan data secara umum.
Sumber: Reuters




