Rafizi Lancar Inisiatif PinjamGajet Esok

LocalTechnology
7 Mar 2026 • 1:21 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Rafizi Lancar Inisiatif PinjamGajet Esok

Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli mengumumkan inisiatif ketiga di bawah Ayuh Malaysia iaitu PinjamGajet.

Menerusi satu kenyataan, Rafizi berkata inisiatif itu akan dilancarkan pada 8 Mac (Ahad).

Menurutnya, PinjamGajet merupakan satu inisiatif yang membolehkan orang awam menderma gajet elektronik terpakai seperti komputer riba (laptop) yang akan dibaik pulih, yang kemudiannya akan disewakan kepada pengguna pada kadar RM10 sebulan.

"Memahami barangan seperti laptop adalah satu keperluan hari ini baik di universiti mahupun sekolah, Ayuh Malaysia ingin merapatkan jurang digital dengan membolehkan akses kepada gajet elektronik yang mampu dimililki oleh seramai boleh keluarga di Malaysia," katanya.

Orang ramai dijemput hadir

Orang ramai dijemput hadir ke pelancaran inisiatif itu di APR Electronic Services 13, Jalan Utarid U5/11, Bandar Pinggiran Subang, 40150 Shah Alam, Selangor pada jam 10 pagi.

"Pelancaran ini juga akan menampilkan kelas asas membaiki laptop serta ruang khas untuk orang ramai menyumbangkan laptop terpakai bagi membantu memperluaskan manfaat kepada komuniti.

"Maklumat lanjut berkenaan PinjamGajet boleh dilayari di pautan ini: https://pinjamgajet.ayuhmalaysia.org," ujar Rafizi.

Pelancaran PinjamGajet juga akan disiarkan secara langsung di platform media sosial miliknya.

Sebelum ini, Rafizi telah melancarkan dua inisiatif di bawah Ayuh Malaysia iaitu pembukaan sebuah kedai serbaneka, Fleximart dan kedai makan Kesum.

Baca juga:

Bagi Fleximart, ia memberi tumpuan kepada makanan siap di bawah RM5 dan barangan runcit yang lain juga akan dijual pada harga yang rendah.

Manakala Kesum pula menjual makanan sarapan, tengah hari dan malam pada harga di bawah RM5.

“Kedua-dua kedai ini menggunakan konsep perusahaan sosial, iaitu perkongsian di antara penyumbang modal dan pekerja.

"Keuntungan akan dikongsi bersama di antara penyumbang modal, pekerja dan orang ramai. Lebih untung, lebih tinggi gaji pekerja dan keuntungan itu disumbangkan balik supaya harga dapat dikekalkan rendah,” katanya pada Oktober 2025.

Ujarnya lagi, inisiatif tersebut diharapkan dapat memberikan lebih banyak peluang pekerjaan kepada anak muda serta membantu orang ramai membeli makanan dengan harga yang lebih murah.