
OSLO: Raja Norway, Harald, mangkat pada usia 89 tahun pada Jumaat, dengan Putera Mahkota Haakon, 53, secara automatik menaiki takhta menggantikan baginda.
Istana Diraja Norway dalam kenyataan memaklumkan Harald mangkat dengan tenang di Hospital Universiti Oslo pada pukul 6.35 pagi waktu tempatan.
“Dengan penuh dukacita, kami mengumumkan bahawa Seri Paduka Raja Harald mangkat hari ini,” menurut kenyataan itu.
Susulan kemangkatan baginda, bendera di Istana Diraja di Oslo diturunkan separuh tiang, menurut wartawan AFP di lokasi.
Puluhan orang berkumpul di luar istana pada sebelah pagi sebelum jumlahnya meningkat kepada ratusan selepas bendera diturunkan separuh tiang.
Ratusan jambangan bunga turut diletakkan di hadapan istana sejak sehari sebelumnya sebagai tanda penghormatan kepada baginda.
“Sudah tentu ia menyedihkan. Baginda merupakan simbol negara kita dan sememangnya menyedihkan apabila sesuatu yang begitu indah berakhir,” kata Maja Otvik, 36, kepada AFP di luar istana.
Harald menaiki takhta pada 1991 selepas kemangkatan bapanya, Raja Olav V, dan menjadi raja Norway selama lebih tiga dekad.
Putera Mahkota Haakon kini mengambil alih tanggungjawab sebagai raja baharu Norway susulan kemangkatan bapanya.
Perdana Menteri, Jonas Gahr Store, dalam satu kenyataan berkata beliau menerima berita kemangkatan itu dengan ‘dukacita yang mendalam’.
“Seluruh negara berkabung dan pada masa sama amat berterima kasih atas kehidupan panjang yang dicurahkan untuk Norway,” katanya.
“Raja Harald mencintai Norway. Dan Norway mencintai rajanya,” katanya lagi.
Store berkata kerajaan akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat sebelum menghadap Raja baharu, Haakon, di istana.
Raja Harald, monarki tertua yang masih memerintah di Eropah, telah dirawat di sebuah hospital di Oslo sejak 17 Ogos selepas mengalami anemia hemolitik, iaitu keadaan apabila sel darah merah musnah pada kadar luar biasa sehingga menyebabkan keletihan dan sesak nafas.
Keluarga diraja bergegas ke sisi baginda pada Khamis selepas istana mengumumkan keadaan kesihatan Harald “amat kritikal”.
Permaisuri Sonja, Haakon dan isterinya, Mette-Marit, serta anak-anak mereka yang sudah dewasa menghabiskan sebahagian besar Khamis di sisi baginda.
Media melaporkan Haakon turut berjaga sepanjang malam menemani bapanya.
Harald yang menaiki takhta Norway pada 1991 berdepan pelbagai masalah kesihatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk terpaksa menjalani prosedur pemasangan alat rentak jantung serta mengurangkan jadual rasmi baginda.
Bagaimanapun, baginda berulang kali menolak kemungkinan turun takhta dengan alasan telah mengangkat sumpah untuk berkhidmat sepanjang hayat di hadapan Parlimen Norway.
Gahr Store membatalkan lawatan kerja ke Jerman pada awal Khamis susulan keadaan kesihatan raja yang semakin merosot.
Tahun lalu juga menyaksikan pelbagai perkembangan mencabar buat keluarga diraja Norway.
Pada Februari, Raja Harald dimasukkan ke hospital di Tenerife akibat jangkitan dan dehidrasi ketika baginda bercuti secara persendirian bersama Permaisuri Sonja.- AFP
The post Raja Norway mangkat pada usia 89 tahun appeared first on Utusan Malaysia.



