
OSLO – Monarki Norway, Raja Harald mangkat pada usia 89 tahun, demikian menurut pihak istana hari ini, dengan putera baginda berusia 53 tahun, Putera Mahkota Haakon secara automatik menaiki takhta.
“Dengan penuh dukacita kami mengumumkan bahawa Raja Harald mangkat. Raja Harald pergi dengan tenang di Hospital Universiti Oslo hari ini, 28 Ogos pukul 6.35 pagi (waktu tempatan),” demikian menurut satu kenyataan.
Bendera di istana diraja di Oslo diturunkan separuh tiang, kata seorang wartawan AFP di lokasi kejadian.
Sebagai monarki tertua bertakhta di Eropah, Raja Harald dirawat di hospital di Oslo sejak 17 Ogos lalu kerana menghidap anemia hemolitik, sejenis penyakit berpunca daripada pemusnahan sel darah merah yang luar biasa cepat, membawa kepada keletihan serta sesak nafas.
Sementara itu, orang ramai terus berkumpul di istana diraja di pusat bandar Oslo untuk hari kedua berturut-turut hari ini. Mereka meletakkan kalungan bunga di atas tanah dan berkumpul dalam kumpulan-kumpulan kecil.
Kaspara Bolstad, 24, memberitahu AFP bahawa Harald merupakan ‘seorang raja yang sangat stabil dan mesra’.
“Seluruh rakyat Norway melihat baginda sebagai contoh teladan dan monarki yang menyatukan rakyat. Sama ada anda menyokong atau menentang sistem monarki, saya fikir baginda sangat disukai oleh semua pihak,” katanya.
Harald yang menaiki takhta Norway pada tahun 1991, mengalami pelbagai masalah kesihatan sejak kebelakangan ini, yang memaksa baginda memasang perentak jantung dan mengurangkan jadualnya. – AFP
The post Raja Norway mangkat usia 89 tahun appeared first on Kosmo Digital.



