
KUALA LUMPUR – Polis sedang meneliti rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di Taman Pusat Kepong, di sini bagi mengesan lelaki yang terlibat dalam kes menyimbah cecair petrol sebelum membakar wanita berusia 62 tahun di sebuah kedai nombor ramalan semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Sentul, Superintendan Jasni Zolpa berkata, langkah itu dibuat bagi mengesan pergerakan suspek sebelum dan selepas kejadian tersebut.
“Kami mengumpul rakaman CCTV untuk diteliti. Identiti suspek dan motif kejadian serangan tersebut masih dalam siasatan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurut beliau, mangsa masih menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan keadaannya dilaporkan kritikal, namun stabil.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, mangsa yang bekerja sebagai penjaga kaunter premis berkenaan dipercayai disimbah cecair petrol oleh seorang lelaki sebelum dibakar sehingga melecur kira-kira 50 peratus pada tubuh.
Siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai musuh dan tidak pernah menerima sebarang ugutan sebelum kejadian.
Pasukan forensik turut mengumpul sampel ujian asid deoksiribonukleik dan beberapa barangan di lokasi kejadian bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng menawarkan ganjaran sebanyak RM5,000 kepada pemberi maklumat sehingga membawa kepada penangkapan suspek.
Beliau berkata, maklumat yang diberikan itu perlu sahih dan secara langsung membantu polis menahan individu terbabit.
Mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Muhammad Amri Firdaus Jusoh di talian 010-9198209 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
The post Rakaman CCTV kesan suspek simbah petrol, bakar wanita appeared first on Kosmo Digital.






