
PETALING JAYA – Sesi dialog Malaysia – Sweden menjadi platform penting untuk industri negara berkenaan berinteraksi secara langsung dengan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam meningkatkan perdagangan dan pelaburan.
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, pelbagai perkara dibincangkan termasuk kemudahan menjalankan perniagaan, proses kelulusan dan permit dan pembangunan bakat.
“Hari ini saya mengadakan sesi dialog bersama Duta Besar Sweden ke Malaysia, TYT Niklas Wiberg serta wakil syarikat-syarikat Sweden yang beroperasi di Malaysia.
“Turut di bincangkan adalah berkenaan insentif pelaburan dan penyelidikan serta pembangunan, akses tenaga, peralihan hijau, perdagangan dan tarif, pembangunan industri automotif serta EV.
“Tidak ketinggalan, tentang keselamatan infrastruktur digital dan usaha memperkukuh Malaysia sebagai hab serantau bagi syarikat antarabangsa,” katanya menerusi media sosial, hari ini.
Menerusi pertemuan itu, beliau mengambil maklum pandangan industri mengenai keperluan kepada dasar yang lebih jelas.
“Saya juga mengambil maklum pandangan industri mengenai keperluan kepada dasar yang lebih jelas, konsisten dan cekap bagi menyokong pelaburan jangka panjang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Sesi Dialog Malaysia-Sweden perkukuh hubungan perdagangan, pelaburan appeared first on Kosmo Online.





