Rakyat Malaysia ditahan disyaki samun wanita, rempuh polis di Batam

10 Nov 2026 • 10:52 AM MYT
The Reporter
The Reporter

Malay site offers reporting updates and viral community news from Malaysia

Lelaki warga Malaysia ditahan polis Indonesia selepas disyaki menyamun wanita dan merempuh anggota polis di Batam.

Seorang lelaki warganegara Malaysia ditahan polis Indonesia selepas disyaki menyamun seorang wanita sebelum bertindak merempuh anggota polis ketika cuba melarikan diri di kawasan Harbour Bay, Batam, Indonesia.

Suspek berusia 41 tahun yang berasal dari Melaka itu dipercayai melakukan jenayah berkenaan selepas kehabisan wang ketika berada di negara tersebut.

Memetik laporan agensi berita ANTARA, suspek dipercayai menggunakan pistol jenis airsoft dan sebilah pisau untuk mengugut seorang wanita berusia 48 tahun sebelum melarikan kenderaan Toyota Rush milik mangsa.

Kejadian yang berlaku pada 5 November lalu itu mencetuskan tindakan polis untuk mengesan dan menahan suspek selepas menerima laporan berhubung kejadian samun berkenaan.

Suspek bertindak agresif

Ketika usaha penahanan dilakukan, suspek didakwa bertindak agresif dengan mengacukan pistol airsoft ke arah anggota polis sebelum merempuh seorang daripada mereka menggunakan kenderaan yang dilarikan.

Tindakan itu menyebabkan anggota polis berkenaan mengalami kecederaan, namun suspek akhirnya berjaya diberkas pihak berkuasa.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Polis Barelang, Komisioner Agung Tri Poerbowo berkata, siasatan awal mendapati suspek memasuki Indonesia pada 15 September lalu untuk bercuti, namun tinggal melebihi tempoh dibenarkan selama 10 hari.

Menurutnya, suspek dipercayai memilih mangsa secara rawak bagi mendapatkan wang untuk membiayai perjalanan pulang ke Malaysia selepas menghadapi masalah kewangan.

Mangsa sebelum itu dilaporkan selesai membayar cukai kenderaan dan mengeluarkan wang di mesin pengeluaran wang automatik (ATM) di Harbour Bay sebelum suspek memasuki keretanya secara tiba-tiba.

Suspek kemudian mengarahkan mangsa memandu ke kawasan Bukit Senyum sebelum mengugutnya supaya memindahkan sejumlah wang ke akaun bank peribadinya.

Bagaimanapun, wanita berkenaan sempat menjerit meminta pertolongan sebelum ditolak keluar dari kenderaan, manakala suspek melarikan diri bersama kereta dan barangan miliknya.

Jumlah keseluruhan kerugian mangsa dianggarkan mencecah 292 juta rupiah (kira-kira RM73,000), termasuk nilai kenderaan dan wang yang dibawa.

Pemeriksaan lanjut mendapati suspek dipercayai membeli pistol airsoft daripada seorang pengawal keselamatan pangsapuri dengan harga satu juta rupiah (kira-kira RM250). Pengawal keselamatan terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan.

Polis turut merampas Toyota Rush milik mangsa, wang tunai satu juta rupiah, pistol airsoft dan sebilah pisau yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut.

Difahamkan, suspek kini berdepan hukuman penjara maksimum sembilan tahun sekiranya disabitkan kesalahan mencuri dengan kekerasan mengikut undang-undang Indonesia.

The post Rakyat Malaysia ditahan disyaki samun wanita, rempuh polis di Batam appeared first on The Reporter.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved