
KAJANG – Seorang lelaki tempatan berusia 20-an mendakwa dipukul dan diugut empat lelaki dalam kejadian samun di Bangi Avenue di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.40 tengah malam itu, mangsa mendakwa kehilangan sebuah telefon bimbit, beg dan beberapa dokumen selain wang tunai berjumlah RM1,100.
Mangsa yang bekerja sebagai pelayan restoran turut mendakwa matanya ditutup dan tangannya diikat selepas memasuki bahagian belakang sebuah Perodua Axia.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 5.16 pagi.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian berkenaan tidak melibatkan penculikan seperti yang tular di media sosial.
“Rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang diperoleh menunjukkan pengadu menaiki kenderaan suspek tanpa dipaksa dan dipercayai mengenali antara satu sama lain sebelum disamun,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, polis kini giat mengesan kesemua suspek bagi membantu siasatan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Polis Daerah Kajang di talian 03-8911 4243 atau pegawai penyiasat, Inspektor Ghazali Zulkifli di talian 016-914 0758. – KOSMO! ONLINE
The post Dakwa diculik, mangsa dan suspek dipercayai saling mengenali appeared first on Kosmo Online.






