Rakyat Malaysia meninggal dunia ketika menyelam di Bali

17 Sep 2026 • 10:43 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Rakyat Malaysia meninggal dunia ketika menyelam di Bali

PETALING JAYA – “Long, seronok sangat ke diving kali ni sampai tinggalkan Yati macam ni.”

Demikian luahan pilu seorang wanita selepas kakaknya, Siti Nuraini Rusidi, 40, dilaporkan meninggal dunia ketika melakukan aktiviti selam skuba di perairan Crystal Bay, Nusa Penida, Bali, Indonesia, semalam.

Menerusi perkongsian di Threads, wanita berkenaan yang menggunakan akaun @ytt.afq turut memohon agar urusan membawa pulang jenazah kakaknya ke Malaysia dipermudahkan.

“Ya Allah, permudahkan urusan kakak saya dibawa pulang ke Malaysia. Al-Fatihah.

“Long, syurga tertinggi untuk Along sebab selalu mudahkan semua orang. Ramai sangat nak bantu Along. Mudah sangat urusan Along. Semua orang cerita kebaikan Along,” tulisnya.

Dalam perkongsian sama, wanita itu turut memuat naik poster takziah yang memaklumkan Siti Nuraini meninggal dunia pada 16 September.

Terdahulu, media tempatan Indonesia melaporkan Siti Nuraini menyertai aktiviti selam skuba bersama satu rombongan di dua lokasi perairan Nusa Penida iaitu Manta Bay dan Crystal Bay.

Rombongan itu dilaporkan memulakan aktiviti kira-kira pukul 8 pagi waktu tempatan sebelum meneruskan aktiviti ke Crystal Bay kira-kira pukul 11 pagi.

Ketika penyelaman di Crystal Bay, rombongan tersebut dilaporkan berdepan arus kuat sehingga tiga penyelam lain terbawa arus.

Mangsa kemudian ditemukan bersama kumpulan penyelam lain dan dilaporkan memberi isyarat kehabisan oksigen sebelum dibantu seorang jurupandu untuk naik ke permukaan.

Setibanya di atas bot, mangsa dilaporkan mengeluarkan buih dari hidung dan mulut namun masih memberikan respons sebelum dibawa untuk mendapatkan rawatan.

Mangsa kemudian dilaporkan tidak lagi memberikan respons dan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan dari Crystal Bay menuju ke Dive Concepts Lembongan.

Jenazah seterusnya dibawa ke Rumah Sakit Bali Mandara untuk tindakan lanjut.- KOSMO! ONLINE

The post Rakyat Malaysia meninggal dunia ketika menyelam di Bali appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved