Penyelam Wanita Maut Dihanyut Arus Deras Di Bali

17 Sep 2026 • 5:01 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Penyelam Wanita Maut Dihanyut Arus Deras Di Bali

KUALA LUMPUR - Seorang wanita Malaysia berusia 40 tahun maut ketika melakukan aktiviti selam skuba di perairan Crystal Bay, Bali, Indonesia, selepas dihanyutkan arus deras.

Mangsa yang dikenali sebagai Siti Nuraini Rusidi dilaporkan meninggal dunia kira-kira jam 11.10 pagi waktu tempatan, semalam.

Siti sebelum itu menyertai aktiviti menyelam rekreasi kira-kira jam 8 pagi bersama seorang pemandu selam, nakhoda bot dan beberapa penyelam lain.

Menurut laporan media Indonesia, pemandu selam, Eugenius Franciso Ray, 33, menyedari Siti batuk ketika kumpulan berkenaan tiba di lokasi selaman pertama di Manta Bay, sebelum bertanyakan mengenai keadaan kesihatannya.

Siti dilaporkan memberitahu dia dalam keadaan sihat dan mahu meneruskan aktiviti berkenaan, sebelum menyelesaikan sesi selaman di Manta Bay.

“Ketika dalam perjalanan ke lokasi selaman seterusnya di Crystal Bay, mangsa sekali lagi ditanya mengenai keadaan kesihatannya, namun dia tetap mahu menyertai aktivitil di lokasi itu,” lapor portal berita berkenaan yang memetik sumber.

Bagaimanapun, keadaan menjadi kritikal selepas kumpulan itu tiba di Crystal Bay apabila mereka berdepan arus yang sangat deras.

Arus kuat berkenaan dilaporkan menghanyutkan tiga penyelam sebelum Siti dilaporkan meninggal dunia.

Insiden itu mula mendapat perhatian di media sosial selepas seorang pengguna berkongsi mengenai kejadian berkenaan menerusi Threads.

Keluarga Siti yang dihubungi media bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan memaklumkan mereka masih terkejut dengan kejadian berkenaan. - Getaran, September 17, 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved