Rakyat Malaysia terus berbelanja, namun kenaikan harga barang dapur dan bayaran pinjaman membebankan - BMI

LocalBusiness & Finance
4 Nov 2026 • 11:24 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Rakyat Malaysia terus berbelanja, namun kenaikan harga barang dapur dan bayaran pinjaman membebankan - BMI Image from: Rakyat Malaysia terus berbelanja, namun kenaikan harga barang dapur dan bayaran pinjaman membebankan - BMI sarah04/11/2026 - 11:24 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 4 Nov - Rakyat Malaysia dijangka terus berbelanja dalam tempoh dua tahun akan datang, namun kenaikan harga barang dapur, bahan api dan komitmen bayaran balik pinjaman yang tinggi berpotensi menekan kewangan isi rumah meskipun ekonomi negara kekal stabil.

 

BMI, firma penyelidikan risiko negara dan industri di bawah Fitch Solutions berkata, perbelanjaan pengguna Malaysia dijangka berkembang 4.08% pada 2026 dan 4.07% pada 2027, disokong pasaran pekerjaan yang kukuh serta kadar inflasi yang masih terkawal.

 

Menurutnya, kadar pengangguran yang rendah pada 3.1% membantu mengekalkan pendapatan dan keyakinan pengguna, manakala inflasi menyederhana kepada 1.8% pada September berbanding 1.9% pada Ogos.

 

Bagaimanapun, BMI memberi amaran bahawa kenaikan harga makanan dan bahan api boleh menjejaskan kemampuan rakyat untuk berbelanja, terutama apabila makanan dan minuman bukan alkohol sahaja merangkumi 25.5% daripada keseluruhan perbelanjaan isi rumah.

 

"Beban hutang isi rumah yang tinggi serta kos pembayaran balik pinjaman turut dijangka mengehadkan pertumbuhan perbelanjaan pengguna," menurut BMI dalam laporan tinjauan terbaharunya.

 

Firma itu berkata, tekanan kos sara hidup berpotensi menjadi lebih ketara apabila isi rumah turut berdepan kesan dasar perbelanjaan kerajaan yang lebih ketat, walaupun keadaan ekonomi keseluruhan masih menunjukkan perkembangan positif.

 

Meskipun berdepan cabaran tersebut, BMI mengunjurkan perbelanjaan isi rumah pada 2026 meningkat 31.2% berbanding paras sebelum pandemik COVID-19, sebelum berkembang kepada 36.6% lebih tinggi pada 2027, selepas mengambil kira kesan inflasi.

 

pet

 

Dari sudut kewangan kerajaan, peningkatan hasil minyak dan pembayaran dividen Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dijangka membantu mengukuhkan kedudukan fiskal negara, namun manfaat tersebut tidak semestinya mengurangkan tekanan kos yang ditanggung pengguna.

 

Sementara itu, BMI menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% dalam keputusan dasar monetari Khamis ini, berikutan pertumbuhan ekonomi yang stabil dan inflasi yang masih berada pada paras terkawal.

 

Firma itu turut menjangkakan OPR kekal pada 2.75% sehingga 2027, sekali gus memberikan kestabilan kepada kos pembiayaan isi rumah, walaupun beban hutang sedia ada dan peningkatan harga barangan keperluan terus menjadi cabaran kepada kuasa beli rakyat.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved