
JAKARTA – Beratus-ratus pelajar berarak di Jakarta semalam kerana membantah kenaikan harga barang, pemotongan subsidi serta pengendalian kebakaran hutan dan tanah oleh kerajaan pimpinan Presiden Prabowo Subianto, lapor laman berita Channel News Asia.
Kumpulan penunjuk perasaan pelbagai universiti dan organisasi bukan kerajaan memenuhi Jalan Tharmin dan Jalan Sudirman, dua laluan utama paling sibuk di Jakarta yang menempatkan ibu pejabat banyak syarikat tempatan serta asing.
Mereka membawa kain rentang mengkritik dasar Prabowo.
Kumpulan penunjuk perasaan mendesak kerajaan mengisytiharkan kebakaran hutan yang melanda Pulau Sumatera dan Kalimantan sebagai bencana nasional serta menghentikan perbelanjaan program populis termasuk skim makanan percuma Makan Bergizi Gratis (MBG) diperkenalkan oleh Prabowo.
Inisiatif tersebut menyebabkan perbelanjaan negara melonjak sehingga menjejaskan program lebih utama seperti pengurusan bencana dan pembangunan infrastruktur.
Peruntukan program makanan sekolah percuma tahun ini dikurangkan daripada 268 trilion rupiah (RM60 billion) kepada 229 trilion rupiah (RM51.3 bilion), kata beberapa pegawai kanan yang mengendalikan projek tersebut pada 21 Julai lalu, sambil menambah, pemotongan selanjutnya akan dilaksanakan.
Bekas Ketua Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB), Suharyanto berkata, BNPB hanya menerima peruntukan sekitar 491 bilion rupiah (RM110 juta) bagi tahun ini, penurunan hampir 75 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Penunjuk perasaan turut mengecam keputusan Indonesia pada akhir September lalu untuk memotong subsidi bahan api daripada 376.8 trilion rupiah (RM84.4 bilion) tahun ini kepada 261 trilion rupiah (RM58.5 bilion) bagi tahun hadapan.
“Pemotongan subsidi itu berlaku ketika orang ramai terjejas akibat kenaikan harga minyak dan kekurangan bahan api bersubsidi susulan perang di Asia Barat.
“Ia juga berlaku apabila kerajaan memperuntukkan lebih banyak wang bagi program-program yang dianggap membazir seperti MBG dan koperasi kampung,” kata Diana, 20, dari Universiti Indonesia. – AGENSI
The post Pelajar gegar Jakarta, bantah pentadbiran Prabowo appeared first on Kosmo Online.






