Ramadan belum berakhir, usah terlalu cepat nak beraya

17 Mar 2026 • 8:50 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Malam-malam terakhir Ramadan sering dikaitkan dengan peluang menggandakan pahala dan memperbanyakkan ibadah.

MINGGU ini sudah masuk minggu terakhir kita berpuasa. Sedar tak sedar, Ramadan sudah hampir sampai ke penghujungnya. Merak Jalanan perasan, dalam kesibukan harian ramai yang seolah-olah sudah mula mengira detik untuk menyambut Aidilfitri.

Tambahan pula, anak bulan Syawal akan dilihat pada hari Khamis ini. Sebab itu Merak Jalanan faham kenapa ramai yang mula membuat pelbagai persiapan lebih awal. Namun dalam keterujaan menunggu keputusan itu, jangan pula kita terasa seolah-olah Ramadan sudah selesai.

Merak Jalanan juga melihat minggu ini memang minggu paling sibuk bagi ramai orang. Perbualan pula sudah mula berkisar tentang kuih raya, baju raya dan rancangan pulang ke kampung. Kalau buka sahaja media sosial, timeline telefon sudah penuh dengan cerita persiapan raya.

Ada juga yang sudah sampai ke kampung lebih awal. Malah ada yang mengambil keputusan untuk mula bercuti dan membawa anak-anak pulang lebih awal bagi mengelakkan kesesakan jalan raya.

Pada masa sama, Merak Jalanan tahu ramai yang sedang bertungkus-lumus di rumah. Ada yang sibuk membuat kuih raya, ada juga yang mengambil peluang minggu ini untuk mengemas rumah dan membuat persiapan akhir menjelang Syawal.

Semua itu tidak salah. Persiapan raya memang sebahagian daripada tradisi masyarakat kita. Namun Merak Jalanan berpesan, jangan sampai mood raya terlalu awal menyebabkan kita terlepas peluang merebut pahala pada malam-malam terakhir Ramadan.

Hakikatnya, inilah malam-malam yang paling bernilai dalam bulan ini. Malam-malam terakhir inilah yang sering dikaitkan dengan peluang menggandakan pahala dan memperbanyakkan ibadah.