
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Umum mengetahui pada Jumaat (18 September) lalu, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan pengampunan bersyarat kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Walau bagaimanapun, pengampunan berkenaan tertakluk sekiranya Najib membayar denda RM50 juta serta mematuhi syarat yang ditetapkan.
Susulan pengumuman itu, UMNO telah melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak dan dilapor telah mengumpul kutipan sebanyak RM1 juta setakat jam 9.30 pagi pada Sabtu (19 September) lalu.
Rosmah Mansor Luah Rasa Syukur, Dakwa Ramai Gembira Dengan Perkembangan Najib
Semalam (20 September), Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu hantaran di Facebook menzahirkan rasa syukur dan terharu apabila mendapat sokongan dan tawaran sumbangan dari rakan serta sahabat taulan termasuk dari luar negara.
Jelasnya, rakan-rakan dari Brunei, Itali, Singapura dan negara lain termasuk Kanada telah menghubunginya dan menyatakan kegembiraan mereka dengan perkembangan terbaharu melibatkan Najib selain turut berhasrat untuk memberi sumbangan.
“Mereka hanya mahu melihat Datuk kembali bersama keluarga. Itu sahaja.
“Saya tidak pernah menyangka begitu ramai yang masih mengambil berat dan sanggup tampil membantu dengan penuh keikhlasan.
“Hari ini, saya sedar siapa sahabat yang sentiasa bersama kami ketika susah dan senang.
“Alhamdulillah, terima kasih sekali lagi atas segala doa, kasih sayang dan keikhlasan kalian,” tulisnya.
UMNO Sasar Kutipan Dana RM30 Juta Bagi Tabung Solidariti Najib Razak
Sebelum ini, UMNO mensasarkan kutipan dana sehingga RM30 juta bagi Tabung Solidariti berkenaan sekiranya kesemua 3.8 juta ahli parti itu membuat sumbangan.
Jelas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Razlan Rafii, sasaran tersebut adalah munasabah sekiranya setiap ahli menyumbang sekurang-sekurangnya RM10.
“Insya-Allah, melihat kepada kutipan terkumpul setakat ini, kami positif dengan sokongan diberikan kepada Tabung Solidariti Najib Razak.
“Selepas ini, sumbangan menjadi lebih mudah diterima apabila kod QR daripada bank diperoleh.
“Ia memudahkan orang ramai menggunakan platform digital untuk menyumbang sama,” katanya yang dipetik dari Harian Metro.
Najib Kekal Dipenjara Sehingga RM50 Juta Dibayar – Peguam
Sebelum ini, firma guaman yang mewakili Najib, Tetuan Shafee & Co menjelaskan anak guamnya itu akan kekal berada di Penjara Kajang sehingga denda RM50 juta yang ditetapkan dibayar kepada mahkamah.
“Sementara itu, dan sehingga denda tersebut dibayar kepada mahkamah, anak guam kami kekal berada di dalam Penjara Kajang.
“Anak guam kami serta pasukan peguamnya kini sedang meneliti syarat-syarat tersebut serta implikasi praktikalnya,” katanya.
Jelas Tetuan Shafee & Co, sebahagian besar aset, akaun bank serta hartanah Najib masih tertakluk kepada perintah pembekuan dan tindakan penguatkuasaan kerajaan.
Tambah mereka lagi, pelupusan aset itu tidak berada sepenuhnya dalam kawalan Najib pada ketika ini,
Ekoran itu, keupayaan untuk memenuhi syarat tersebut bergantung, sebahagiannya kepada perkara-perkara yang berada di luar kawalan anak guamnya itu.
“Dalam keadaan sedemikian, anak guam kami kini sedang mendapatkan nasihat dan mempertimbangkan pilihan-pilihan yang ada bagi menentukan cara terbaik untuk memenuhi syarat tersebut,” kata mereka.
Baca Artikel Berkaitan: Agong Perkenan Pengampunan Bersyarat Kepada Najib, Jalani Baki Hukuman Secara Tahanan Di Rumah
Baca Artikel Berkaitan: Apa Itu Akta Tahanan Rumah? Ini Apa Yang Patut Anda Tahu
Baca Artikel Berkaitan: Pengampunan Najib: Keputusan Lembaga Pengampunan Tak Jejas Prinsip Kerajaan Banteras Kes Rasuah – PMX






