Ramai Masih Keliru Hukum Beli Blind Box, Ini Penjelasannya

26 Jun 2025 • 6:03 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

image is not available

Ikuti saluran WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Segelintir masyarakat kini telah dilanda dengan kegilaan terhadap ‘blind box’ dengan banyak syarikat tempatan turut menawarkan barang tersebut sebagai hadiah percuma.

Jika anda tidak tahu, blind box adalah kotak yang mengandungi sesuatu barangan yang tidak dapat dilihat dari luar, dan pembeli akan dikejutkan dengan design berbeza.

Bagaimanapun, timbul perdebatan dalam kalangan masyarakat tentang hukum sebenar membeli blind box menurut syariah Islam.

Individu Di Media Sosial Beri Pendapat Tentang Hukum Pembelian Blind Box

Menerusi satu hantaran di laman X (@taufiq_tuah), dia yang gemar menjawab soalan berkenaan agama berpendapat haram hukumnya jika membeli sesuatu yang tidak diketahui kandungan sebenarnya.

Tambahnya lagi, hukum sama turut terpakai bagi pembelian ‘blind book’, yakni pembeli tidak mengetahui buku apa yang akan diterima olehnya kerana dibalut.

Menjawab persoalan individu sama ada blind box yang diterima secara percuma apabila membeli barangan lain, dia menganggap perkara itu tetap menyalahi hukum agama jika niat semata-mata untuk mendapatkan blind box.

Pun begitu, dia berkata blind box yang diterima dengan percuma atau tidak dikenakan bayaran kerana membeli barangan yang digunakan adalah dibolehkan.

Hukum Beli Blind Box Jadi Topik Hangat Di Media Sosial, Ramai Masih Keliru

Walau bagaimanapun, isu ini dilihat memberikan perbincangan hangat dalam kalangan netizen di mana ramai pengguna media sosial kelihatan bersetuju dengan pendapatnya bahawa haram membeli blind box, malah ada juga yang menyifatkan ia seolah-olah menyerupai perjudian.

Sebaliknya, terdapat segelintir individu yang merasakan blind box tidak haram dibeli kerana pengguna sudah mengetahui apa jenis barang yang bakal diterima olehnya tetapi hanya pilihan corak yang berlainan.

Dia bagaimanapun berkata perkara itu tetap tidak dibenarkan memandangkan setiap corak mempunyai harga jualan semula yang berbeza.

Ada juga yang mempersoalkan jika mereka boleh membeli blind box sekiranya tidak kisah dengan mana-mana corak yang akan diterima.

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available

image is not available
Sumber: X

Jabatan Mufti Negeri Selangor Tetapkan Hukum Harus Atas Pembelian Blind Box

Menerusi carian kami, soalan berkenaan pembelian dan penjualan semula blind box telah dijelaskan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor.

Katanya, antara syarat dalam jual beli adalah konsep suka sama suka atau saling meredai antara pembeli dan penjual seperti firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 29:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ ۚ وَلَا تَقْتُلُوا أَنفُسَكُمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ كَانَ بِكُمْ رَحِيمًا ‎

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.”

Menurut Jabatan Mufti Selangor, walaupun bentuk barangan di dalam blind box tidak diketahui dan sekadar dianggar (berdasarkan berat, bunyi dan lain-lain), namun pembeli telah reda dengan pembelian tersebut sebaik membuat bayaran.

“Transaksi jualan yang pertama iaitu antara penjual dan pembeli pertama telah saling meredai antara oleh pembeli untuk membeli barangan tersebut walaupun ia merupakan blind box,” katanya.

Oleh yang demikian, disimpulkan bahawa hukum membeli blind box boleh menjadi harus jika hanya ketidakpastian kecil, pembeli reda, dan ia tidak membawa kepada kemudaratan dan perselisihan.

Di samping itu, penjualan semula blind box yang telah dibuka dan diketahui isinya juga dibenarkan.

‘Mystery Box’ Ada Unsur Gharar Yang Haram Dalam Islam

Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini telah menerangkan tentang hukum membeli ‘mystery box’ iaitu kotak dengan isi kandungan yang tidak diketahui oleh pembeli.

Ini kerana pembelian tersebut tidak menyempurnakan salah satu rukun jual beli iaitu barang jualan dan harganya.

Menurut penerangannya, jual beli barangan yang tidak spesifik mengandungi unsur gharar yang diharamkan dalam Islam. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نَهَى عَنْ بَيْعِ الْحَصَاةِ، وَعَنْ بَيْعِ الْغَرَرِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah S.A.W melarang jual beli al-hashah (melempar batu) dan jual beli gharar(ketidakjelasan)”.

Riwayat Muslim (1513)

Malah jual beli sebegini juga dikatakan mempunyai unsur perjudian kerana menafikan hak pembeli memilih barangan yang dikehendaki.

Pembelian sedemikian menjadi tidak sah dan terbatal, serta barang harus diserahkan kembali kepada penjual, dan pembeli menerima semula wangnya.

Sebaliknya, penjual dan pembeli juga boleh membuat akad jual beli yang baru dengan syarat pembeli meredai pembelian barang tersebut dan penjual juga meredai dengan nilai bayaran yang diterima.