
PETALING JAYA – Langit di sekitar Kuala Lumpur yang kembali cerah selepas beberapa hari diselubungi jerebu mengundang kelegaan orang ramai apabila pemandangan bangunan Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC), kembali kelihatan dari jauh.
Rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa syukur apabila keadaan langit kembali cerah, sekali gus memberikan kelegaan selepas berdepan keadaan udara berjerebu.
“Wehhhh sumpah terkejut tengok luar langit kembali cerah! Finally (akhirnya) berasa lega nak bernafas dengan tenang,” tulis seorang pengguna.
“Sama! Dah nampak langit biru dan KLCC dari jauh!” komen seorang lagi pengguna.
Seorang pengguna turut berseloroh apabila bangunan tinggi berhampiran kediamannya kembali kelihatan selepas beberapa hari terlindung dek jerebu.
“Alhamdulillah. Aku pun dah nampak jiran aku yang tinggi di sebelah ni. Tiga hingga empat hari dah jiran aku ni hilang masuk alam bunian,” katanya.
Bagaimanapun, keadaan berbeza dilaporkan di Sarawak apabila beberapa pengguna mendakwa jerebu kembali melanda negeri itu.
Berdasarkan Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Serian, Sarawak merekodkan bacaan tertinggi iaitu 193, diikuti Kuching (188), diikuti Samarahan (183) dan Sri Aman (159).
Di Johor, Batu Pahat dan Pasir Gudang masing-masing merekodkan bacaan 157, diikuti Kluang (155), manakala Larkin dan Kota Tinggi masing-masing mencatatkan bacaan 152 dan 116.
Turut mencatatkan bacaan tidak sihat ialah Paka, Terengganu (153), manakala Nilai dan Seremban, Negeri Sembilan masing-masing merekodkan bacaan 152.
Sementara itu, sebanyak 44 kawasan lagi berada pada tahap sederhana dan 12 kawasan pada tahap baik.
Mengikut skala IPU, bacaan antara sifar hingga 50 dikategorikan sebagai baik, 51 hingga 100 sederhana, manakala 101 hingga 200 adalah tidak sihat. – KOSMO! ONLINE
The post Ramai orang KL terkejut tengok langit cerah appeared first on Kosmo Online.






![[VIDEO] Bayi dibuang dalam tong sampah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/10/WhatsApp-Image-2026-10-23-at-17.02.24-1024x640.jpeg)