
PETALING JAYA – Warga kota meluahkan rasa kecewa apabila beberapa kawasan pejalan kaki digunakan untuk meletakkan meja oleh segelintir peniaga sehingga mengganggu aktiviti orang ramai.
Menerusi perkongsian di aplikasi Threads, seorang pengguna dikenali sebagai Kaki.komplen mendakwa, beberapa peniaga sekitar Kepong ‘menceroboh’ kawasan pejalan kaki tersebut.
“‘Pedestrian’ sudah cantik, lebar pula, tetapi jadi tempat restoran buka meja. Rasanya berapa (yuran) mereka bayar kepada pihak berkuasa ya?
“Sini tempat pejalan kaki lalu-lalang, kadang-kadang ada berjoging dan berbasikal, tetapi situ juga tempat pelanggan mereka merokok dan meminum arak,”dakwa individu itu.
Tambahnya, selain meletakkan meja di kawasan pejalan kaki, terdapat peniaga yang memasang khemah di atas ruang tersebut.
“300 meter dari lokasi ini ada khemah durian pacak atas ‘pedestrian’, kita sebagai ‘pedestrian’ pula terpaksa lalu atas jalan raya. nanti saya muat naik video,” dakwanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna dikenali sebagai Ajezahmad mendakwa, aduan sudah beberapa kali dibuat kepada pihak berkuasa, namun tiada tindakan yang diambil.
“Sebenarnya dah penat buat aduan, 10 kali buat aduan, 10 kali juga respons macam melepaskan batok di tangga. Nah korang (kamu) tengok sendiri resit. padan muka dah viral (tular)!,” tulisnya.
Justeru individu tersebut mahu pihak berkuasa termasuk pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bertegas dengan peniaga yang menyalahgunakan kemudahan orang ramai di Jalan Perdana Metro Barat, Kepong itu.-KOSMO! ONLINE
The post ‘Sudah penat buat aduan, peniaga tetap buka meja di laluan pejalan kaki’ appeared first on Kosmo Online.






