
BACHOK – Mentaliti ‘pintu belakang’ dan amalan ‘Little Napoleon’ demi mengaut keuntungan peribadi merupakan antara penyumbang kepada peningkatan kes rasuah dalam kalangan penjawat awam.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Dr. Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, peningkatan itu mencetus kebimbangan terutamanya aspek integriti dan tadbir urus dalam sektor awam yang memerlukan perhatian.
Menurutnya, faktor yang dikenal pasti menyumbang kepada keadaan itu antaranya penguatkuasaan undang-undang yang tidak konsisten selain kelemahan dalam prosedur perolehan.
“Statistik tangkapan kes rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia membabitkan pegawai awam menunjukkan peningkatan dengan kes tertinggi direkodkan pada 2024 iaitu sebanyak 568 kes,” katanya ketika menyampaikan Syarahan Perdana Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam 2026 di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Bachok di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Ahmad Dahlan memberitahu, penglibatan segelintir penjawat awam dalam isu rasuah disifatkan amat membimbangkan dan memerlukan usaha berterusan untuk pemantapan tata kelola dalam organisasi kerajaan.
“Inilah yang ditekankan oleh kerajaan apabila kita perlu memperkemaskan lagi tata kelola dalam organisasi. Isu berkenaan mampu ditangani dari semasa ke semasa dengan usaha berterusan serta komitmen pelbagai pihak. Insya-Allah, jika usaha berterusan itu dilaksanakan, saya penuh yakin isu bahawa isu berkaitan dengan rasuah ini akan dapat kita kurangi dari semasa ke semasa,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE
The post Ramai penjawat awam amal ‘pintu belakang’ nak cepat kaya appeared first on Kosmo Online.






