
Setiap bangunan dan institusi penting yang wujud di sesebuah negara pastinya mempunyai peranan tersendiri.
Namun, tahukah anda bahawa beberapa lokasi yang cukup dekat dengan sejarah Malaysia sebenarnya pernah dikaitkan dengan simbol tertentu yang menggambarkan asas dan nilai negara?
Perkara itu mungkin tidak diketahui ramai kerana ia berlaku lebih enam dekad lalu, ketika Malaysia baru sahaja melalui satu detik penting dalam sejarah pembentukannya.
Pada 17 September 1963, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-3, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, telah mengumumkan tujuh simbol asas Malaysia dalam satu titah pada majlis perhimpunan kanak-kanak.
Menariknya, simbol-simbol tersebut bukan sekadar merujuk kepada sesuatu tempat, sebaliknya setiap satunya membawa maksud tersendiri berkaitan kehidupan, pendidikan, agama, demokrasi, kebudayaan dan semangat mempertahankan negara.
Jadi, apakah tujuh simbol asas yang diumumkan ketika itu?
7 simbol asas Malaysia yang diumumkan YDP Agong Ke-3 pada tahun 1963
Stadium Merdeka dan Stadium Negara
Stadium Merdeka dan Stadium Negara menjadi lambang kepercayaan bahawa otak yang cerdas ada pada tubuh yang sihat.
Kedua-dua stadium itu turut menjadi simbol bagi usaha memupuk persahabatan melalui sukan.
Bangunan Parlimen
Bangunan Parlimen pula menjadi tugu keyakinan terhadap demokrasi berparlimen yang berdasarkan pilihan rakyat.
Tugu Negara
Tugu Negara menjadi lambang semangat dan pengorbanan rakyat dalam mempertahankan negara.
Masjid Negara
Masjid Negara pula menjadi tugu kebebasan beragama.
Ini kerana semua rakyat dan bangsa menyumbangkan wang bagi pembinaannya, selain wang yang diperuntukkan oleh kerajaan.
Baca juga:
Dewan Bahasa dan Pustaka
Dewan Bahasa dan Pustaka menjadi lambang kekayaan warisan serta kedudukan istimewa bahasa rasmi Malaysia.
Kolej universiti dan institusi pengajian lain
Kolej universiti dan institusi pengajian lain menjadi lambang keyakinan terhadap pelajaran serta usaha memberikan ilmu kepada rakyat.
Muzium Negara
Muzium Negara pula menjadi lambang utama usaha membina kebudayaan nasional.
Kesimpulannya, tujuh simbol yang diumumkan pada 17 September 1963 itu memperlihatkan pelbagai aspek yang dikaitkan dengan asas kehidupan dan pembangunan Malaysia, daripada pendidikan dan sukan hinggalah kepada demokrasi, agama serta kebudayaan.

![[VIDEO] ‘Banjir kilat di Cameron Highlands, lebih baik tangguh dulu naik’](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/09/cameron-highlands-banjir-1024x766.jpeg)




