[VIDEO] ‘Banjir kilat di Cameron Highlands, lebih baik tangguh dulu naik’

11 Sep 2026 • 9:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: [VIDEO] ‘Banjir kilat di Cameron Highlands, lebih baik tangguh dulu naik’

PETALING JAYA – Orang ramai yang merancang untuk bercuti ke Cameron Highlands dinasihatkan mempertimbangkan semula perjalanan susulan hujan lebat yang mencetuskan banjir kilat di beberapa lokasi di pusat peranginan itu hari ini.

Situasi berkenaan tular di media sosial selepas beberapa pengguna Threads berkongsi rakaman menunjukkan air berwarna keruh melimpah ke jalan raya, kawasan perumahan serta menenggelami sebahagian kenderaan.

Seorang pengguna Threads, @farah.ilyanaa berkata, keadaan di Cameron Highlands ketika ini kurang baik berikutan hujan lebat yang berterusan.

“Maaf keadaan Cameron tak berapa elok sekarang sebab banyak banjir kilat. Air sungai melimpah. Hujan lebat sangat-sangat. Sekarang pun tak berhenti lagi hujan,” tulisnya menerusi hantaran di Threads hari ini.

Menurutnya, antara kawasan terjejas ialah Golden Hills apabila air banjir dilihat memasuki kediaman selain beberapa kenderaan turut dinaiki air.

Rakaman lain dikongsikannya turut menunjukkan keadaan air yang deras dan keruh di sekitar kawasan berkenaan, selain situasi di Taman Awam, Tanah Rata.

Menjawab pertanyaan pengguna yang merancang untuk berkunjung ke Cameron Highlands esok, wanita itu menyarankan perjalanan berkenaan ditangguhkan buat sementara waktu.

“Lebih baik tangguh dulu sebab dah tiga hari hujan. Sini asyik hujan saja. Risau tanah runtuh pula hujan-hujan ini,” katanya.

Bagaimanapun, dia mendakwa laluan menerusi Simpang Pulai masih dalam keadaan baik ketika ditanya mengenai akses untuk naik ke Cameron Highlands.

Seorang lagi pengguna Threads, @hnisalyaa_ turut berkongsi rakaman keadaan banjir berhampiran kawasan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia, Cameron Highlands.

“Lebih baik tangguhkan dulu siapa berhajat nak naik Cameron, ada tempat yang banjir dan tanah runtuh,” tulisnya.

Sementara itu, pengguna @eif.mor1 memaklumkan air turut naik di sekitar Carnation Park.

Seorang lagi pengguna @schapikaaa turut berkongsi gambar pokok tumbang dipercayai di Jalan Tengkolok, Tanah Rata pada petang tadi.

“Jalan Tengkolok bahaya sekarang kalau lalu. Ni pun jadi petang tadi,” katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan jadual taburan hujan, Stesen Gunung Brinchang merekodkan 99.5 milimeter (mm) hujan sejak tengah malam hari ini, diikuti Tringkap 88.5mm, Ladang Boh 74mm dan Brinchang 73mm. – KOSMO! ONLINE

 

View on Threads

 

The post [VIDEO] ‘Banjir kilat di Cameron Highlands, lebih baik tangguh dulu naik’ appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved