KUALA LUMPUR – Kerajaan digesa melaksanakan pindaan melibatkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 (APJ 1987) bagi membolehkan kenderaan yang terlibat dalam kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dan dadah (DUI) dirampas serta dilucut hak, khususnya membabitkan kes kematian dan kecederaan parah.
Pendukung Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Lestari, Shahrim Tamrin berkata, cadangan itu perlu direalisasikan melalui pengenalan klausa baharu di bawah Seksyen 44 APJ 1987 dengan mengambil model sedia ada dalam Seksyen 80 Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.
Menurutnya, Malaysia sebenarnya sudah mempunyai asas perundangan dan keupayaan operasi yang mencukupi untuk melaksanakan mekanisme tersebut.
"Jika Malaysia boleh melucut hak lori komersial secara kekal kerana membawa muatan berlebihan, adalah logik dan adil untuk tindakan sama dikenakan terhadap kenderaan yang digunakan oleh pemandu mabuk atau khayal.
"Cadangan ini bukan sesuatu yang baharu, sebaliknya merupakan lanjutan kepada undang-undang sedia ada yang wajar diperluaskan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, sebanyak 465 kenderaan komersial telah dirampas oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada tahun 2025 di bawah peruntukan APAD 2010, meningkat 85.2 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Pada masa yang sama, katanya, hukuman sedia ada termasuk denda antara RM1,000 hingga RM2,000 dilihat tidak mencukupi dan perlu diperkasakan bagi mengekang pesalah berulang.
"Ramai pesalah menganggap denda sebagai kos untuk berseronok. Namun, apabila kenderaan dirampas dan dilelong, mesejnya menjadi jauh lebih jelas.
"Kenderaan yang digunakan sebagai senjata sewajarnya dirampas daripada mereka,” katanya.
Tambah beliau, kajian Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) mendapati 23 peratus pemandu dalam nahas maut didapati positif alkohol, manakala pemandu di bawah pengaruh alkohol adalah 13 kali ganda lebih berisiko menyebabkan kemalangan.
Katanya, penunggang motosikal yang menyumbang lebih 71 peratus kematian jalan raya juga perlu diberi perlindungan yang lebih berkesan dalam menangani isu DUI.
Menurut Shahrim, cadangan itu memperincikan beberapa keadaan yang membolehkan rampasan mandatori dilaksanakan, termasuk kesalahan DUI berulang, paras alkohol dalam darah melebihi 150 miligram per 100 mililiter, pemanduan di bawah pengaruh dadah serta kes yang menyebabkan kematian atau kecederaan serius.
Jelasnya, kenderaan yang terlibat perlu disita di lokasi kejadian sebelum notis rampasan dikeluarkan kepada pemilik dalam tempoh 24 hingga 48 jam.
"Kes perlu dibawa ke mahkamah dan selepas sabitan, perintah pelucutan hak hendaklah dikeluarkan.
"Hak milik kenderaan akan dipindahkan kepada kerajaan sebelum dilelong selepas tempoh minimum 90 hari,” katanya.
Menurut beliau, hasil lelongan perlu disalurkan kepada Tabung Pampasan Mangsa DUI serta Tabung Amanah Keselamatan Jalan Raya bagi tujuan pendidikan, komunikasi dan penguatkuasaan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan cadangan tersebut turut perlu mengambil kira perlindungan kepada pemilik pihak ketiga yang tidak bersalah seperti ibu bapa, majikan atau syarikat kewangan.
Katanya, kenderaan milik pihak ketiga hendaklah dikembalikan kepada pemilik berdaftar, manakala pesalah tetap perlu membayar penalti setara dengan nilai pasaran kenderaan tersebut.
"Selain itu, mahkamah wajar diberi budi bicara dalam kes melibatkan golongan B40, khususnya penunggang motosikal bagi kesalahan pertama dengan tahap alkohol rendah.
"Pendekatan ini perlu memastikan keadilan dilaksanakan tanpa membebankan golongan berpendapatan rendah,” katanya.
Mengulas lanjut, Shahrim berkata, pelaksanaan dasar rampasan kenderaan telah terbukti berkesan di beberapa negara termasuk Latvia dan Belarus dalam mengurangkan kesalahan berulang.
"Setiap kematian akibat DUI yang boleh dicegah adalah kegagalan dasar.
"Malaysia mesti menghantar isyarat tegas bahawa kenderaan bukan sekadar aset, tetapi boleh menjadi instrumen yang membawa padah jika disalah guna,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.40 pagi Ahad, Amirul Hafiz Omar maut selepas motosikal yang ditunggangnya dirempuh sebuah kereta yang dipandu lelaki dalam keadaan mabuk serta di bawah pengaruh dadah di Jalan Raya Barat, Klang.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Lim Jit Huey berkata, kemalangan itu melibatkan sebuah motosikal dan dua buah kereta.
Menurutnya, siasatan awal mendapati sebuah kereta jenis Honda City yang dipandu lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an datang dari arah Jalan Raya Barat menghala ke Bandar Klang dalam keadaan laju dan berbahaya.
Jelasnya, pemandu berkenaan dipercayai memotong beberapa kenderaan dan memasuki laluan bertentangan sebelum merempuh motosikal yang ditunggang mangsa.
